PM berdoa lebih ramai rakyat berpeluang ke tanah suci

36

7 MAC: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berasa sebak dan bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi peluang memasuki Kaabah ketika menunaikan ibadah umrah di Mekah pada Sabtu malam waktu tempatan.

Muhyiddin berkata beliau juga bersyukur kerana beroleh keizinan Allah SWT untuk kembali ke Tanah Suci, menjejakkan kaki di Masjidilharam seterusnya menunaikan ibadat umrah.

“Beroleh keizinan Allah SWT untuk kembali ke Tanah Suci, menjejakkan kaki di Masjidilharam seterusnya menunaikan ibadat umrah malam tadi merupakan satu nikmat yang amat saya syukuri dengan penuh rendah hati.

“Yang lebih membuatkan saya sebak dan bersyukur, apabila dengan izinNya jua, Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Masjid Suci, Yang Teramat Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud telah memperkenan untuk saya memasuki Kaabah.

“Ini ialah aturan Allah SWT yang amat besar nilai dan maknanya, bukan sahaja untuk diri saya dan isteri, bahkan saya menganggapnya sebagai bukti ukhwah persaudaraan yang amat akrab serta penghormatan untuk umat Islam di Malaysia dari Kerajaan Diraja Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Berikutan itu, Muhyiddin berkata beliau amat memahami kerinduan umat Islam khususnya di Malaysia untuk kembali ke Tanah Suci. Kerinduan yang kita semua tidak boleh gambarkan dengan kata-kata.

“Saya telah diizinkanNya untuk kembali ke sini namun saya tidak sesekali menganggapnya sebagai keistimewaan peribadi.

“Saya percaya, ini adalah amanah olehNya untuk saya hadir dan berusaha sedaya upaya agar lebih ramai umat Islam di Malaysia dapat kembali ke bumi Mekah.

“Sebab itu, semasa menunaikan umrah dan berada di dalam Kaabah, saya bagi pihak rakyat khususnya umat Islam di Malaysia berdoa dengan sesungguhnya, semoga kita semua sentiasa berada dalam perlindunganNya, seluruh dunia bebas daripada wabak penyakit dan umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia dapat segera kembali berpeluang ke tanah suci sebagai tetamu Allah,” katanya.

Perdana Menteri berkata Kerajaan Arab Saudi memberi perhatian serius terhadap penjagaan kesihatan dalam kalangan umat Islam.

Muhyiddin berkata beliau percaya tidak lama sahaja lagi, bumi anbia ini akan kembali diimarahkan dengan ibadat umrah dan ziarah.

“Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia, berterima kasih kepada Yang Teramat Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi, Yang Amat Mulia Putera Mohammad Salman, yang mengundang saya ke Arab Saudi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.