Ingkar SOP: 430 dikompaun, 11 direman dan seorang dijamin

32

7 MAC: Gara-gara ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 442 individu ditahan di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 430 individu dikenakan kompaun manakala 11 direman dan seorang dijamin.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI

“Antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (144), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (88), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (lapan) dan lain-lain kesalahan (51),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai Op Benteng pula, katanya, seramai 102 orang pendatang tanpa izin (PATI) telah ditahan, manakala empat buah kenderaan darat dirampas di seluruh negara.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 114 buah bot atau kapal di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.

“Op Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 447 sekatan jalan raya (SJR) semalam,” katanya lagi.

Bagi Operasi Sanitasi Awam pula, beliau berkata, 94 operasi telah dilaksanakan meliputi 32 zon merah, zon jingga (lima), zon kuning (11) dan zon hijau (tiga).

Secara kumulatifnya, Ismail Sabri berkata, sebanyak 18,123 operasi sanitasi yang merangkumi 146 zon di seluruh negara telah dilakukan sejak 30 Mac tahun lalu.

Selain itu, beliau berkata, seramai 1,112 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Sejak 24 Julai 2020, seramai 138,771 individu telah pulang ke tanah air dan kesemuanya ditempatkan di 78 hotel dan 11 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Seramai 7,539 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 130,338 orang dibenarkan pulang manakala 894 lagi telah dibawa ke hospital,” katanya. – Oleh ROSLI HASSAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.