Dakwaan dipujuk beri sokongan, Natrah buat laporan SPRM

25

7 MAC: Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail mengesahkan beliau sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas mendakwa dirinya cuba dipujuk dua individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk Seri’ supaya memberi sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Natrah berkata, laporan yang dibuatnya itu berdasarkan Seksyen 25 Akta SPRM 2009, berkenaan kewajipan melaporkan tawaran suapan, sepertimana yang diminta suruhanjaya berkenaan semalam.

“Saya berharap pihak SPRM akan dapat menyiasat perkara ini pada kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Natrah juga mengulangi pendiriannya sebelum ini, iaitu tidak berminat memberi sokongan kepada Muhyiddin dan tidak mahu mengkhianati PKR, pimpinan parti dan pengundi Parlimen Sekijang.

Terdahulu, SPRM memohon Natrah Ismail tampil membuat aduan kepada suruhanjaya itu jika dakwaan terdapat individu menyogok ahli parlimen seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam satu kenyataannya, SPRM berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan sama juga dimohon berbuat demikian.

Katanya, aduan itu adalah selaras dengan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 mengenai kewajipan melapor transaksi penyogokan.

“SPRM bersedia untuk menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut kerana perbuatan tersebut dianggap perlakuan rasuah,” kata SPRM dalam satu kenyataan semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.