Berdepan berita palsu cabaran besar KKMM

79

7 MAC: Berhadapan dengan berita palsu merupakan cabaran besar yang dihadapi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sejak setahun lepas terutama ketika pandemik COVID-19 melanda negara, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, setiap hari, Pasukan Respon Pantas KKMM menerima pelbagai laporan yang ditularkan di media sosial dan aplikasi WhatsApp khususnya berkaitan COVID-19.

SAIFUDDIN

Katanya walaupun tindakan boleh diambil terhadap individu terbabit, namun kerjasama orang ramai juga diperlukan bagi menangkis berita palsu daripada terus disebarkan sehingga mencetus suasana panik dalam kalangan masyarakat.

“Kami memang melakukan pendakwaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta polis, namun saya amat berharap kami mampu melakukan lebih banyak usaha lain,” katanya dalam sidang media sempena Setahun Malaysia Prihatin, di Putrajaya hari ini.

Menurut MCMC, Pasukan Respon Pantas KKMM sehingga kini telah mengeluarkan 428 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu kepada orang ramai.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan sehingga 4 Mac lepas, Polis Diraja Malaysia telah membuka 283 kertas siasatan berkaitan berita palsu COVID-19.

Dari sudut perundangan, sebarang perkongsian berita yang bersifat palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.