Vaksin COVID-19: Lebih dua juta individu sudah mendaftar

21

6 MAC: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat ini merekodkan lebih dua juta individu sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksin di aplikasi, MySejahtera.

Perkara itu dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memuat naik data daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan COVID-19 (JKJAV) di akaun Facebook rasminya hari ini.

Berdasarkan data itu, seramai 2,024,356 individu sudah mendaftar di MySejahtera setakat jam 3 petang semalam.

Mengenai perkembangan individu yang menerima vaksin, sebanyak 112,914 suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech sudah diagihkan setakat semalam.

Berdasarkan data JKJAV yang dikongsi Dr Noor Hisham di media sosialnya, Sarawak menjadi negeri tertinggi dalam pengagihan vaksin setakat ini apabila merekodkan 14,855 dos suntikan.

Ia diikuti Kelantan (11,680), Kuala Lumpur (11,266), Pahang (10,599), Perak (9,892), Selangor (8,899), Johor (8,802), Sabah (6,229) dan Kedah (5,306),
Pulau Pinang pula mencatatkan sebanyak 5,052 dos sudah diagihkan disusuli Negeri Sembilan (4,864), Terengganu (4,572), Melaka (4,312), Putrajaya (2,290), Perlis (2,223) dan Labuan (2,073).

PICK yang bermula 24 Februari lalu terbahagi kepada tiga fasa dengan fasa pertama menyasarkan pemberian vaksin kepada 500,000 petugas barisan hadapan.

Fasa kedua pula dijangka bermula pada April hingga Ogos ini dengan menyasar kita-kira 9.4 juta warga tua berusia 60 tahun ke atas serta golongan berisiko.

Fasa terakhir dijangka bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dengan sasaran kira-kira 13.7 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas termasuk agihan kepada warga asing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima vaksin COVID-19, empat hari selepas bekalan pertama negara keluaran Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.