PINTAR, pensyarah, sumbang RM11,000 bantu dua wanita

146

6 MAC: Kesusahan hidup teruk dialami dua wanita sehingga terpaksa mengikat perut dan tidak mampu melunaskan tuntutan bulanan akibat COVID-19 mendorong seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff dan Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) menyumbangkan bantuan sebanyak RM11,000 untuk meringankan beban mereka.

Sumbangan itu akan diserahkan sebanyak RM5,500, masing-masing kepada Siti Noor Madzariah dan Leong Xiao Yoong petang ini.

Kamarul Zaman berkata, RM1,000 daripada jumlah itu adalah sumbangan peribadinya, manakala RM10,000 pemberian PINTAR.

Penyerahan sumbangan itu, katanya, akan disampaikan melalui isteri beliau dan bekas pelajarnya di UUM.

“Saya menghubungi sendiri Siti Noor Madzariah. Ibu tunggal kepada lima orang anak ini sebelumnya bertugas sebagai krew kabin sebuah syarikat penerbangan tempatan, namun terkesan dengan pandemik itu, sehingga gagal membayar sewa rumah RM500 sebulan dan ansuran motor RM150.

“Lebih menyedihkan, beliau terpaksa menyara keperluan lima anaknya berusia lima hingga 19 tahun, termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU), malah tiga orang tidak bersekolah kerana masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata, masalah kehidupan Siti Noor Madzariah diketahuinya ekoran tulisan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, menceritakan kisah beliau memberikan sedikit makanan dan wang berjumlah RM300 kepada wanita itu yang dikatakan membuatkannya menangis dan berlutut di kaki Teresa Kok.

Manakala, katanya, masalah kewangan serius ditanggung Xiao Yoong diceritakan sendiri wanita itu yang juga pelajarnya di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoiS) UUM yang menghubunginya.

Jelas Xiao Yoong, dia pernah mengadu hal kesusahan hidup dia dan keluarga alami kepada pejabat ahli parlimen DAP di Kepong, tetapi beliau sekadar dinasihatkan dan ditunjukkan jalan untuk bekerja.

“Semoga sedikit sumbangan ikhlas dari saya dan PINTAR ini membantu meringankan bebanan kesusahan hidup mereka, malah saya sudah memaklumkan permasalahan mereka kepada beberapa agensi kerajaan yang berjanji akan membantu.

“Dengan bantuan diberikan, diharap tidak ada lagi mana-mana individu yang berlutut di kaki orang dan sama-samalah kita membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa serta agama, selain tidak memalukan mereka,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyumbangkan kewangan kepada dua wanita itu, boleh menyalurkannya ke akaun bank mereka, iaitu akaun Siti Noor Madzariah bernombor 114187348798 (Maybank) dan akaun Leong Xiao Yoong bernombor 7092363552 (OCBC) – Oleh: FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.