Muafakat UMNO, Bersatu mesti diteruskan demi kekuatan politik Melayu

75

6 MAC : Permuafakatan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu diteruskan untuk memperkasakan kekuatan politik Melayu demi kestabilan negara di masa depan.

Demikian ditegaskan Penasihat Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim yang percaya hubungan antara dua parti tersebut tidak akan terputus begitu sahaja walaupun ada banyak pihak yang memberikan pandangan.

“Saya meletakkan harapan tinggi supaya kedua-dua parti terbabit kembali bekerjasama dengan turut disertai PAS.

“Dalam UMNO ada menantu, dalam Bersatu ada mentua dan ia ibarat satu keluarga yang tidak akan ‘berpatah arang’ begitu saja.

“Saya tetap berharap UMNO dan Bersatu bermuafakat demi bangsa dan masa depan politik orang Melayu di negara ini sebab sama ada UMNO, BERSATU atau PAS, parti ini tidak boleh berkuasa secara bersendirian,”ujarnya.

Beliau berkata demikian  selepas program Sentuhan Budi Bersatu Jelebu di Kampung Geylang, Pertang hari ini.

Rais menegaskan beliau sentiasa berpandangan positif apabila dua parti yang dikuasai orang Melayu dapat berganding bahu memajukan negara secara bersama.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.