Hamzah nafi dakwaan Azmin dilantik jadi TPM Julai depan

117

6 MAC : Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menafikan dakwaan perlantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) menjelang pilihan raya umum Julai depan sepertimana yang tular di media sosial.

Menurut beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, maklumat berhubung inti-pati Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang ditularkan sejak 4 Mac lalu menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook adalah palsu dan tiada kaitan dengan mana-mana mesyuarat parti sebelum ini.

“Segala maklumat yang terkandung dalam sebaran itu tidak benar, palsu serta tidak mempunyai kaitan sama sekali terhadap mana-mana mesyuarat MPT yang sudah berlangsung.

“Kita tidak teragak-agak untuk menggunakan semua lunas perundangan yang ada bagi melindungi kepentingan parti serta ahli.

“Sehubungan itu, Bersatu akan membuat laporan polis terhadap penyebaran berita palsu itu bagi menjejaki dalang di sebalik penyebaran maklumat terbabit,” tegasnya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Selain dakwaan perlantikan Azmin itu, mesej yang dikatakan ditujukan kepada semua ketua bahagian Bersatu juga meminta ahli parti bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangkakan pada Julai depan.

Selain itu, mesej itu mendakwa Azmin memberitahu MPT, kononnya lapan lagi wakil rakyat bakal menyertai Perikatan Nasional (PN).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.