21 kes positif, PKPD Kampung Serumah, Sarawak mulai esok

22

6 MAC: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Serumah daerah kecil Siburan, Serian, Sarawak mulai esok hingga 20 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan masih berlaku penularan kes membabitkan penduduk di lokaliti berkenaan.

Katanya, sehingga semalam, sebanyak 416 ujian saringan dijalankan dan daripada jumlah itu, 21 kes positif COVId-19 direkodkan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan di atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Serumah daerah kecil Siburan bermula 7 hingga 20 Mac ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM menjalankan saringan secara bersasar ke atas 580 penduduk serta mengesan beberapa lagi kontak rapat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak, Perak ditamatkan mengikut jadual, esok.

Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal.

Ismail Sabri berkata, semua kes positif juga sudah menerima rawatan dan kontak rapat diasingkan serta dipantau.

“Sehingga kini, KKM melaksanakan 2,074 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 1,650 kes positif COVID-19 direkodkan,” katanya- Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.