PAS Akan Perkukuh Agenda Ummah Antara UMNO dan Bersatu

36

5 MAC : PAS akan sentiasa komitmen dalam memperkukuhkan perpaduan ummah di antara parti-parti Melayu yang menyokong kerajaan di mana asas kerjasama ini amat penting dalam konteks masa depan negara.

Justeru, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa partinya itu akan memperkasa Muafakat Nasional (MN) sekali gus mempertahan Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat.

“PAS akan menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin dan akan menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah ‘penjajaran baharu’ melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sekutunya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Takiyuddin memberitahu PAS komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama UMNO, PAS dan Bersatu serta rakan-rakan sekutu yang lain demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu lagi sejarah hitam lampau berulang kembali.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) mengesahkan telah mengadakan pertemuan bersama dua parti itu dan baru sahaja bertemu Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membincangkan perkara itu semalam.

“PAS amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan oleh pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.

“Justeru, PAS menekankan buat masa ini sewajarnya semua pihak memberikan sepenuh perhatian bagi menjayakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha memerangi wabak Covid-19 dan pemulihan semula ekonomi negara dengan sebaiknya,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghantar surat berhubung pendirian parti itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Surat yang dikeluarkan setelah mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Janda Baik, Pahang itu menyatakan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan parti itu hanya akan bekerjasama dengan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan berasingan berkata, sejak awal UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina di atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efektif mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan demi menjaga kemaslahatan rakyat.

Menurut beliau, keputusan tersebut dicapai setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19 .

Susulan perkara itu, Bersatu menerusi  kenyataan rasmi malam tadi yang dikeluarkan Hamzah menyatakan Bersatu memandang serius terhadap kandungan surat dihantar kerana akan memberi implikasi yang besar terhadap kerjasama antara parti berkenaan, UMNO dan PN.

Hamzah memberitahu Bersatu juga memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam parti PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihanraya akan datang. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.