PM Adakan Lawatan Rasmi Ke Arab Saudi, UAE Mulai Esok

62

5 MAC : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi bermula esok sehingga 9 Mac ini dan selepas itu mengadakan pertemuan rasmi bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) sehingga 11 Mac ini.

Muhyiddin akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta jumlah delegasi yang kecil untuk meminimumkan risiko jangkitan COVID-19.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi bagi memenuhi jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang diterima pada April tahun lalu

Wisma Putra memaklumkan Perdana Menteri merupakan Ketua Kerajaan yang pertama dijemput oleh Raja Salman bagi mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi susulan dari Persidangan Al-Ula pada 5 Januari lalu.

“Hubungan dua hala di antara Malaysia dengan Arab Saudi merangkumi spektrum kerjasama yang luas termasuk perdagangan, pelaburan, hal ehwal islam, pendidikan dan hubungan sesama manusia.

“Lawatan ini bukan sekadar  memperkukuhkan kerjasama sedia ada malah turut memberi peluang menjalin peluang kerjasama baharu di dalam pelbagai bidang seperti teknologi dan inovasi, serta kerjasama dalam bidang tenaga.

“Pengstrukturan semula ekonomi Arab Saudi yang sedang dilaksanakan berpandukan Visi 2030, telah memperluaskan lagi skop peluang kerjasama antara Malaysia-Arab Saudi,” kata Wisma Putra, hari ini.

Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, Malaysia dan Arab Saudi akan membincangkan usaha-usaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala sedia seperti menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi (High level Strategic Committee – HLSC) di peringkat Menteri Luar Negeri yang akan membuka ruang kepada perundingan berkala antara Malaysia dan Arab Saudi dalam pelbagai bidang.

Katanya, Malaysia juga akan memacu kerjasama dalam bidang sains dan teknologi yang akan menyumbang  kepada kepentingan strategik dan ekonomi kedua-dua negara di samping mengukuhkan kerjasama dalam bidang Haji dan Umrah dengan pemeteraian inisiatif Mecca Road Service yang akan memudahkan proses pra-pelepasan ibadah Haji dan umrah bagi Jemaah Malaysia.

“Malaysia juga akan membincangkan kuota haji, serta prosedur haji dan umrah bagi jemaah dari Malaysia dan juga meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala, termasuk dalam sektor minyak dan gas, serta tenaga boleh diperbaharui.

“”Malaysia juga akan mengukuhkan usahasama dan maklum balas dalam menghadapi pandemik COVID-19 di samping meneroka pasaran baru bagi eksport kelapa sawit di Arab Saudi, serta rantau Timur Tengah dan Afrika serta mengukuhkan kerjasama dalam industri halal termasuklah usahasama di antara badan persijilan halal bagi kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Wisma Putra memaklumkan lawatan Perdana Menteri ke UAE bakal memacu usaha-usaha dalam meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan UAE selaku rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah.

Menurutnya, antara cadangan bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada adalah mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam menghadapi cabaran sedia ada dan akan datang dan juga penubuhan Gabungan Keselamatan Makanan Antarabangsa (International Food Security Coalition – IFSC) untuk mewujudkan daya tahan dan keteguhan dalam rantaian bekalan makanan global.

“Sebagai langkah permulaan, Malaysia dan UAE akan menandatangai Memorandum Persefahaman mengenai Penubuhan Kerjasama Diplomasi Makanan Malaysia-UAE (Memorandum of Understanding  on the Establishment of the Food Diplomacy Cooperation).

“Malaysia akan mengukuhkan kerjasama dalam industri minyak dan gas di samping Kursi Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) bagi menggalakkan pemahaman dan hubungan di antara kedua-dua negara seperti yang diterapkan oleh Almarhum Sheikh Zayed Sultan Al Nahyan.

“Malaysia juga akan mengukuhkan kerjasama dalam industri halal termasuklah usahasama badan persijilan halal bagi kedua-dua negara serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama terutamanya penyelesaian damai bagi konflik serantau,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.