PKPD Kuarters Sri Jelutung, Mukim Bebar, Pahang mulai esok

30

5 MAC: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di PKPD Kuarters Sri Jelutung, Mukim Bebar, Pekan, Pahang bermula 6 hingga 19 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD perintah itu diambil selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan situasi peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan terbabit.

Katanya, sehingga kelmarin, sebanyak 30 kes positif direkodkan dan seramai 150 kontak rapat dikenal pasti membabitkan penghuni kuarters berkenaan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan di atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kuarters Sri Jelutung bermula 6 hingga 19 Mac ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM menjalankan saringan secara bersasar ke atas penghuni kuarters terbabit serta mengesan beberapa lagi kontak rapat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh ditamatkan mengikut jadual, esok.

Beliau menjelaskan, ketetapan itu dibuat selepas KKM mengesahkan terdapat penurunan kes serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Sehingga kini, KKM melaksanakan 1,573 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 94 kes positif COVID-19 direkodkan,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.