Masih ada ruang musyawarah, perpaduan formula terbaik PRU15

32

5 MAC: Keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sahaja tidak menguntungkan parti itu, malah merugikan konsep penyatuan ummah dilaungkannya.

Penganalisis Politik, Dr Mazlan Ali, berkata langkah parti politik itu bakal memberi implikasi buruk dalam kalangan orang Melayu yang sememangnya mengkehendaki konsep berkenaan.

“UMNO sendiri yang mahukan konsep ini, tetapi sekarang mereka pula tak nak bekerjasama, jadi orang Melayu yang sangat menyokong penyatuan ummah akan melihatnya umpama ‘cakap tak serupa bikin’,” katanya.

Mazlan berkata, keadaan itu dijangka membawa kerugian kepada UMNO apabila menentang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana pengundi Melayu akan menyokong Bersatu dan PAS.

Ditanya kemungkinan ketiadaan kerjasama UMNO dan Bersatu itu mampu memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH), beliau berkata perkara itu tidak mungkin berlaku.

Jelasnya, orang Melayu sememangnya menolak dan tidak mahu berkompromi dengan isu lapuk dibawakan gabungan PH, DAP yang mahu memperjuangkan hak sama rata kaum dan pada masa sama, parti pembangkang itu perlu sedar Malaysia adalah negara yang strukturnya ditunjangi orang Melayu.

“Saya sebenarnya suka idea kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini, jadi mungkin selepas PRU-15, beliau boleh duduk berbincang dengan semua kepimpinan parti Melayu, termasuk parti pembangkang untuk mencari pendekatan terbaik bagi memperjuangan bangsa.

“Orang Melayu semakin bertambah, majoritinya Melayu, maknanya tanpa DAP pun orang Melayu boleh tubuhkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi PN BBC.

Pakar Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan, berkata apa yang menggusarkan, penarikan diri UMNO daripada PN menyebabkan berlaku perpecahan undi apabila masing-masing bertanding atas tiket sendiri.

Katanya, keadaan itu akan menguntungkan PH kerana walaupun kerusi antara parti dalam gabungan itu sedikit, tetapi apabila UMNO, Bersatu dan PAS tidak bergabung di bawah ‘satu bumbung’, pastinya pembangkang memiliki lebih jumlah undi, sekali gus memungkinkan tiga parti Melayu berkenaan sukar memenangi kerusi kawasan dan amat merugikan orang Melayu.

Azmi Hassan berkata, UMNO, Bersatu dan PAS harus sedar masing-masing memiliki kepentingan, kekuatan dan kelemahan tersendiri, justeru mereka perlu bekerjama untuk kekal majoriti pengundi, selain menguntungkan orang Melayu.

“Ketiga-tiga parti terbabit perlu membuang jauh-jauh ego, kena tolak tepi kerana masalahnya sekarang adalah pengagihan kerusi, ini perlu diutamakan.

“Saya juga melihat surat menamatkan kerjasama yang dihantar UMNO bukan penyudah kata, maksudnya masih ada masa untuk ketiga-tiga parti berteraskan melayu ini berjalan seiringan pada PRU-15,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian, menggesa UMNO, Bersatu dan PAS bermusyawarah bagi mencari pendamaian untuk mampu mengatasi krisis yang berlaku sehingga PRU.

Beliau berkata, keutamaan sekarang adalah kestabilan agar dapat mengelakkan tercetusnya pertembungan tiga atau lebih penjuru, terutama di kawasan majoriti orang Melayu yang akhirnya merugikan UMNO dan Bersatu, selain memberi kelebihan kepada pesaing politik mereka.

“Memanglah kita tidak boleh kata sudah pasti PH akan menang, cuba dalam kemelut pertembungan nanti, pasti akan memberikan kelebihan kepada parti ini.

“Dalam tempoh krisis kesihatan dan ekonomi ini, kita perlukan kestabilan politik. Cari penyelesaian sementara terbaik. Lagipun Perdana Menteri dah kata apabila keadaan pulih, masing-masing boleh menggunakan PRU untuk mendapatkan mandat serta menentukan hala tuju negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.