Ada Khilaf Dalam Kenyataan Ahmad Zahid- Mohamad Sahfri

122

5 MAC : Barisan Nasional (BN) mengesahkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam tidak mendapat kelulusan pihak Sekretariat Dewan Tertinggi parti itu terlebih dahulu.

Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz memaklumkan, kenyataan itu mengelirukan dan terdapat kekhilafan yang telah dilakukan oleh seorang pegawai di Sekretariat BN.

“Sehubungan dengan itu, saya telah mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman pada pagi ini bagi membincangkan penyiaran kenyataan media Pengerusi BN yang tidak mendapat kelulusan pihak Sekretariat Dewan Tertinggi Barisan Nasional terlebih dahulu.

“Yang kurang tepat (maklumatnya) sebagaimana yang telah diperbincang dan diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan BN merayu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.

Ahmad Zahid berkata, Seri Paduka Baginda boleh memperkenankan perkara itu dengan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mengesahkan Majlis Tertinggi BN tidak pernah membuat keputusan untuk merayu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.

Sementara itu menerusi kenyataan sama, Mohd Sahfri memaklumkan Ketua Pegawai Media BN telah digantung tugas setelah mendengar pandangan Jawatankuasa Siasatan Dalaman.

“Saya telah menggantung tugas Ketua Pegawai Media BN bagi tempoh satu bulan berkuatkuasa serta merta.

“Ini juga bagi membolehkan proses siasatan dalaman dapat dilaksanakan dengan lebih terperinci dan lebih berkesan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.