UMNO Perlis tetap teruskan kerjasama dengan Bersatu

497

4 MAC : UMNO Perlis tetap akan mempertahankan kerjasama bersama Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), biarpun pucuk pimpinannya mengesahkan bakal menamatkan jalinan itu di peringkat nasional, tegas Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, keputusan UMNO Perlis adalah menyokong kerajaan PN dan semasa pilihan raya akan bekerjasama dengan semua parti politik Bumiputera, termasuk Bersatu dan PAS.

“Kita (UMNO Perlis) tidak mahu negeri ini dikuasai pembangkang. Malah kerjasama dengan Bersatu dan PAS wajar untuk memenangi pilihan raya,” katanya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, hari ini mengesahkan parti itu tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dan sudah memaklumkannya kepada Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad berkata, keputusan untuk tidak bekerjasama itu dilakukan selepas turut mengambil kira pandangan akar umbi.

Katanya, UMNO turut menyatakan dua keputusan kepada Perdana Menteri, iaitu tiada kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 dan UMNO berpendapat kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata UMNO Perlis belum dimaklumkan secara rasmi keputusan MKT itu dan berpegang kepada pendirian rasmi parti sebelum ini.

“Kita tidak tahu, tidak dapat maklumat, dan jika dapat maklumat kita akan buat mesyuarat berhubung perkara ini. Buat masa sekarang, kita ikut keputusan mesyuarat lepas,” kata beliau.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.