Sijil vaksinasi digital diberi pada penerima vaksin Covid-19

77

4 MAC: Malaysia akan mengeluarkan sijil vaksinasi pintar sebagai dokumen pengesahan bagi individu yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata,  kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan sijil itu memenuhi piawaian antarabangsa seperti ditetapkan mengikut oleh Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR).

ADHAM

“Malaysia akan mengeluarkan sijil vaksinasi pintar sebagai dokumen pengesahan bagi individu yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Perkara ini dibincangkan dengan IHR @WHO bagi memastikan sijil memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya dalam satu ciapan menerusi akuan Twitternya sebentar tadi..

Dalam ciapan berbeza, Dr Adham turut berkongsi info grafik dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang menunjukkan bilangan terkini mereka yang menerima suntikan vaksin COVID-19 sehingga semalam.

Berdasarkan data berkenaan, seramai 80,336 individu di Malaysia sudah menerima dos pertama suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 (PICK) selepas dilancarkan kira-kira seminggu lalu.

Sarawak muncul negeri teramai menerima suntikan berkenaan dengan 13,691 individu, diikuti Kuala Lumpur (8,505), Perak (7,757), Kelantan (7,725), Pahang (7,415), Johor (6,454), Kedah (4,388), Terengganu (4,566), Selangor (4,276), Negeri Sembilan (3,101), Pulau Pinang (2,914), Melaka (2,752), Sabah (1,898), Labuan (1,789), Perlis (1,598) dan Putrajaya (1,507). 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.