Kes Zahid: kontrak ikut prosedur, saksi siasat cek RM6j

38

4 MAC : Penganugerahan kontrak pembekalan cip pasport kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan telah melalui prosedur yang betul, akui pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Hizar Farhan Abdul Razi.

Namun, pada masa yang sama, katanya, tanpa persetujuan timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Kementerian Kewangan tidak akan bersetuju menganugerahkan kontrak itu kepada DTSB.

Beliau berkata demikian selaku saksi ke-91 perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Mohd. Hizar bersetuju dengan cadangan peguam bela, Ahmad Zaidi Zainal bahawa Kementerian Kewangan telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dalam penganugerahan kontrak tersebut kepada DTSB, semasa pemeriksaan balas.

Namun, dalam pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun pula, dia memberikan bayangan bahawa persetujuan Ahmad Zahid yang juga selaku menteri dalam negeri ketika itu memainkan peranan dalam penganugerahan kontrak berkenaan

“DTSB merupakan syarikat yang telah dianugerahkan konktrak pembekalan cip pasport untuk tempoh selama lima tahun atau untuk jumlah 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate pasport antarabangsa Malaysia daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya sewaktu perbicaraan.

Terdahulu, pegawai SPRM itu memberitahu bahawa dia turut menjalankan siasatan terhadap dua keping cek bernilai RM1 juta dan RM5 juta diterima Ahmad Zahid daripada Pengarah Datasonic Group Bhd (DGB) Chew Ben Ben sekitar April 2017.

DGB merupakan sebuah syarikat induk yang mana di bawahnya ada beberapa anak syarikat antaranya syarikat DTSB.

Perbicaraan kes rasuah dan penyelewengan dana melibatkan Ahmad Zahid, bersambung hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Ia bersambung semula selepas hakim bersetuju menangguhkan perbicaraan pada 22 Februari lepas, susulan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mempunyai kontak rapat dengan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Johan Abdul Aziz yang disahkan positif COVID-19.

Ahmad Zahid, berdepan dengan 47 pertuduhan meliputi 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwaraya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Gan Peng Kun manakala pembelaan diketuai peguam Hisham Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.