Rundingan menyatukan UMNO, Bersatu masih berjalan- Pas

106

4 MAC: PAS tidak putus asa untuk terus membina permuafakatan bersama parti mewakili orang Melayu Islam, biarpun UMNO memutus tidak akan mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS sedia bekerjasama dengan semua pihak yang bersedia menyokong aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, rundingan bagi menyatukan Umno dan Bersatu masih berjalan sehingga sekarang.

“PAS sentiasa komited ke arah membina muafakat antara ketiga-tiga parti utama orang Melayu (PAS-Umno-Bersatu).

“Insya-Allah kita yakin akan mampu membina muafakat yang baik dan cuba untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis hari ini.

Media semalam melaporkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU 15 berikutan dikatakan desakan ahli-ahli Umno peringkat akar umbi.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, jawatan kuasa rundingan masih berjalan, di mana PAS mempunyai hubungan erat dengan UMNO.

Malah banyak kajian sebelum ini menggambarkan pertandingan tiga penjuru pada PRU15 memberi peluang Pakatan Harapan (PH) kembali bangkit merampas kerajaan semula.

Terdahulu, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan sudah menghantar surat kepada Muhyiddin untuk memaklumkan mengenai keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, pada 19 Februari lalu.

Dalam surat bertarikh 26 Februari yang dilihat wartawan PNBBC, Ahmad Zahid menegaskan bahawa Mesyuarat MKT yang berlangsung di Institut Latihan Memperkasakan Ummah di Janda Baik, Bentong, Pahang itu memutuskan dua perkara penting.

“Pertama, Mesyuarat MKT UMNO berkenaan memutuskan bahawa tiada kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kedua, UMNO berpendapat, kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen,” kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam sepucuk surat yang dialamat kepada Pejabat Pengerusi PN di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, baru-baru ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.