Pemandu treler langgar jejambat SUKE positif dadah

44

4 MAC: Pemandu treler yang melanggar struktur jejambat dalam pembinaan di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Kelang (SUKE) sehingga runtuh dan mengorbankan dua wanita pekerja kilang semalam didapati positif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, suspek berusia 40 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu) selepas ujian saringan air kencing dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Dang Wangi berikutan kejadian itu.

Zulkefly berkata, insiden itu menyebabkan pemandu van kilang, Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, patah tulang bahu kiri, bengkak pada paru-paru dan mengalami pendarahan dalaman.

“Dua lagi penumpang van terbabit, iaitu Zaitun Zainal, 54, cedera kaki kiri, manakala Zakiyyah Yakop, 51, pula cedera betis kiri, manakala mangsa yang meninggal dunia ialah Nurina Edwin Abdullah, 47, dan Norhayati Abdullah, 42,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika treler itu melalui Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) secara tiba-tiba melanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki menyebabkan rusuk keluli bersama perancah besi terjatuh di kedua-dua berkenaan.

Beliau berkata runtuhan berkenaan kemudian menghempap van kilang yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

“Ketika kejadian, van itu dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang Sensata Technologies, USJ 1. Pemandu treler itu ditahan dan akan direman mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua wanita pekerja kilang meninggal dunia akibat dihempap dalam insiden runtuhan struktur pembinaan SUKE, di Lebuh Raya MRR2, petang semalam.

Manakala dua lagi rakan mereka bersama seorang lelaki yang juga pemandu van terselamat dan mengalami kecederaan. Semua mangsa yang juga rakyat tempatan dilaporkan dalam perjalanan ke tempat kerja.

Pemandu van itu dibawa keluar pada jam 8.50 malam. Penumpang dibawa keluar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur pada jam 9.15 malam sehingga 9.27 malam tadi. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.