PAS : Dakwaan PH Takiyuddin tak hormat Agong keterlaluan

31

4 MAC: Dakwaan Pakatan Harapan (PH) kononnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong berhubung penangguhan sidang Parlimen disifatkan keterlaluan dan tidak wajar.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Sallehen Mukhyi berkata, dakwaan itu bersifat politik, semata-mata mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.

siti zailah
ZAILAH

“Tindakan Takiyuddin (penangguhan sidang Parlimen) adalah mengikut lunas undang-undang yang mana Yang di-Pertuan Agong akan menerima pandangan dan nasihat Jemaah Menteri.

“Pada saya, jika sesuatu perkara itu bertentangan, biarlah pihak Istana Negara sendiri yang mengeluarkan kenyataan, bukan pihak lain,” katanya ketika dihubungi PN BBC hari ini.

Sallehen menjelaskan, dakwaan PH itu dilihat sebagai cubaan menjadikan Takiyuddin sebagai kambing hitam, hanya untuk kembali memerintah kerajaan.

Katanya, tidak dapat dinafikan desakan PH supaya Parlimen dibenarkan bersidang kerana mereka mahu menggunakan platform itu untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mendapatkan mudah untuk mentadbir negara.

Sementara itu, seorang lagi AJK PAS Pusat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata dakwaan PH itu sekadar gimik politik dan tidak perlu dilayan.

“Bagi saya, tak perlu layan PH, ini politik mereka dan mereka tidak ada fakta sebaliknya kita fokus kepada kerja dan tugas dengan sebaiknya.

“Pendirian kami adalah sama seperti yang dinyatakan Datuk Takiyuddin,” katanya.

Media semalam melaporkan Jemaah Menteri bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan COVID-19.

Keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan Parlimen. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.