Parti politik tidak boleh fail saman fitnah individu

66

4 MAC: Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini memutuskan bahawa parti politik tidak boleh memfailkan saman fitnah terhadap individu.

Keputusan berkenaan diputuskan panel tujuh hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Rohana berkata, mahkamah telah menjawab secara negatif persoalan undang-undang yang dikemukakan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng untuk membatalkan saman yang difailkan terhadapnya oleh MCA.

“Isu perundangan itu ialah sama ada parti politik mempunyai kapasiti untuk meneruskan saman fitnah berdasarkan keputusan kes Goldsmith lawan Bhoyrul (1998), undang-undang kes Inggeris yang memperuntukkan bahawa parti politik tidak boleh & memfailkan saman fitnah.

Dalam membenarkan rayuan Lip Eng, Rohana mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Lip Eng agar saman itu dibatalkan.

Rohana berkata, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Lip Eng.

Menurutnya, mahkamah akan memberikan alasan penghakiman kes itu.

Dalam prosiding yang dijalankan menerusi sidang video, Sri Ram berhujah bahawa sesebuah parti politik tidak boleh memfailkan saman fitnah, berdasarkan keputusan dalam kes Goldsmith lawan Bhoyrul dan Rajagopal lawan Jayalalitha.

Beliau berkata, sebuah pertubuhan berdaftar, termasuk kerajaan dan parti politik, tidak boleh memfailkan saman fitnah kerana ia tidak memiliki reputasi seperti seorang individu.

Jelas beliau, undang-undang fitnah melindungi reputasi individu.

Sri Ram juga berkata, mahkamah terkhilaf dalam memutuskan kes melibatkan kerajaan Sarawak terhadap Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan kerajaan boleh menyaman individu kerana memfitnah.

Pada Julai 2017, Setiausaha Agung MCA ketika itu, Ong Ka Chuan, telah memfailkan saman fitnah terhadap Lip Eng berhubung kenyataan yang dibuat dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen pada 15 Mac 2016 atas dakwaan bahawa parti politik itu telah menggunakan dana kerajaan yang diperuntukkan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Ka Chuan mendakwa kenyataan Lim telah mencalarkan reputasi MCA dengan serius sambil menambah bahawa parti itu menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi am dan teladan.

Pada 27 Februari 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lip Eng untuk membatalkan saman itu dan rayuannya turut ditolak di Mahkamah Rayuan.

Dalam & prosiding itu, peguam Ng Chew Hor yang mewakili Ka Chuan berhujah saman itu tidak sepatutnya ditolak, sebaliknya perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, parti politik mempunyai reputasi yang perlu dilindungi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.