Kerajaan tanggung ujian saringan COVID-19 pelajar IPT tempatan

39

4 MAC : Mahasiswa kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan telah bersetuju mengecualikan bayaran ujian pengesanan COVID-19 bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pengecualian itu akan diberikan kepada pelajar warga Malaysia yang melakukan ujian COVID-19, di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selaras dengan usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19, semua pelajar perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan sesi pengajian. Maka, kerajaan akan menanggung semua kos ujian.

“KKM mengganggarkan kos terlibat ialah sebanyak RM2.79 juta,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan buku bertajuk Impak COVID-19 Terhadap Insan, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara maya hari ini,

Buku tersebut dihasilkan sekumpulan penyelidik dari Pusat Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM berdasarkan pengalaman mendepani COVID-19 serta penyelidikan saintifik.

Sementara itu, Adham memberitahu dianggarkan 18,600 pelajar IPT akan memulakan sesi pembelajaran fizikal secara berperingkat bermula 1 Mac lepas.

Dalam perkembangan lain,beliau berkata setakat ini, 80,336 individu telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech, yang majoritinya ialah petugas barisan hadapan yang disenaraikan dalam Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula pada 24 Feb lepas.

“Kira-kira 271 juta penduduk dunia telah menerima suntikan vaksin COVID-19 dengan Amerika Syarikat merekodkan jumlah tertinggi iaitu 80.5 juta penduduk, diikuti China 52.5 juta, Kesatuan Eropah (35.6 juta) dan United Kingdom (21.5 juta).

“Malaysia menduduki tangga ke-68 daripada jumlah keseluruhan negara yang telah dan sedang memberi suntikan vaksin COVID-19. Saya menyeru rakyat negara ini untuk mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di aplikasi MySejahtera, yang sehingga kini telah merekodkan pendaftaran kira-kira 2.7 juta individu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.