Kerajaan Sedang Pertimbang Rentas Negeri Di Kawasan Zon Hijau

83

4 MAC : Kerajaan sedang mempertimbangkan bagi membenarkan pergerakan rentas antara dua negeri di kawasan zon hijau yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan perkara tersebut masih perlu diperincikan lagi sebelum sebarang pengumuman dilakukan bagi mengelak risiko.

ISMAIL SABRI

Menurut beliau, perkara itu kini dalam perbincangan antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“(Sedang) dalam perbincangan, mana-mana negeri yang sama-sama zon hijau mungkin boleh melakukan perjalanan rentas negeri,” katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Dalam masa sama, Ismail Sabri memberitahu antara perkara yang perlu diperincikan adalah membabitkan soal pergerakan antara dua negeri dalam PKPP yang perlu melintasi negeri dalam fasa PKP Bersyarat (PKPB).

“Contohnya Putrajaya zon hijau ke Melaka yang juga zon hijau perlu melalui Negeri Sembilan yang berada dalam PKPB, ada orang kata boleh pergi dengan syarat jangan berhenti di Negeri Sembilan.

“Namun dari segi pemantauannya bukan mudah kerana sukar untuk ditentukan dengan jelas, jadi ini perkara yang sedang diperincikan lagi,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.