Tiada kerjasama UMNO-Bersatu keputusan pramatang

32

4 MAC: Keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disifatkan sebagai pramatang.

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengulas mengenai surat yang diutus Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri yang memaklumkan keputusan Majlis Teringgi UMNO.

Surat itu memperincikan dua perkara, iaitu tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan kebersamaan kerjasama Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran parlimen.

Annuar berkata, tiada keperluan untuk Zahid secara ‘diam-diam’ mengutus surat pemberitahuan untuk tidak berkerjasama dengan Bersatu.

“Sewaktu mula menjalin kerjasama antara parti,  tiadapun surat-menyurat memulakan kerjasama terbabit.

“Apa lagi perkara yang masih jauh di hadapan,” kata Menteri Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu, memaklumkan mandat untuk pentadbiran PN memerintah sebelum mengadakan pilihan raya umum masih lambat.

“Tempoh PRU (mandat parlimen berakhir pada) 2023, jadi pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh ini.

“Langkah diambil ini meletakkan parti pada posisi tiada kelebihan. Apa lagi di saat parti perlu melalui pemilihan wajib tahun ini,” katanya.

Menurut Annuar, dasar parti semasa pilihan raya akan datang bakal ditentukan pemimpin yang memimpin semasa PRU diadakan.

“Dengan pendirian premature (pramatang) ini, kita telah menjadikan diri kita tempang (lameduck) dan kuasa tawar-menawar dalam kerajaan menjadi lemah.

“Yang menanggung akibatnya adalah ahli di akar umbi,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.