Terserah kepada rakyat tentukan nasib UMNO- Shahril

129

4 MAC: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menegaskan parti itu menyerahkan kepada kuasa rakyat bagi menentukan masa depannya susulan keputusan Ahli Majlis Tertinggi (MKT) untuk memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, keputusan dibuat MKT UMNO itu adalah keputusan dipersetujui menerusi perbincangan.

“UMNO ditanya, UMNO berbincang dan akhirnya membuat ketetapan dua perkara, justeru sebaiknya tidak perlu ada pertikaian berkenaan halatuju politik parti ini.

“Sekarang terserah kepada kepemimpinan dan warga UMNO untuk menjayakan keputusan ini dengan cara memastikan UMNO berada di landasan kukuh untuk meyakinkan ahli, selain rakyat bahawa parti ini adalah pilihan terbaik mendepani masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahril berkata, berhubung keputusan itu, UMNO akan menuruti dua perkara digariskan ketika mengusulkannya kepada Perdana Menteri dan rakyat sendiri akan menentukan nasib semua parti politik di peti undi kelak.

“Dalam konteks politik matang, tentunya UMNO akan menghormati keputusan parti lain seperti mana mereka juga perlu menghormati ketetapan UMNO,” katanya.

UMNO hari ini, mengesahkan parti itu tidak mahu bekerjasama dengan BERSATU dan sudah memaklumkannya kepada Perdana Menteri merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keputusan untuk tidak bekerjasama itu dilakukan selepas turut mengambil kira pandangan akar umbi.

Katanya, UMNO turut menyatakan dua keputusan kepada Perdana Menteri, iaitu tiada kerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 dan UMNO berpendapat kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.