Jualan vaksin COVID-19 dalam talian palsu- Noor Hisham

20

4 MAC: “Penjualan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech secara atas talian yang kini tular di media sosial adalah palsu,” tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjalankan pemantauan mendapati iklan berkenaan adalah palsu.

“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, unit forensik siber dan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan serta dan antarabangsa sememangnya sentiasa memantau situasi semasa, termasuk berhubung penjualan vaksin di dalam talian ini.

“KKM sedia maklum kewujudan iklan penjualan vaksin berkenaan yang didakwa dijual atas talian,” katanya pada sidang media COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, vaksin memiliki pendaftaran bersyarat yang hanya boleh dibekalkan pihak kerajaan dan pihak dibenarkan kerajaan.

Orang ramai, katanya, dinasihatkan untuk berwaspada dan memastikan mereka hanya menerima suntikan vaksin daripada KKM dan sumber sah.

Sementara itu, beliau berkata, tujuh hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dikenalpasti untuk penilaian lapangan bagi penggunaan kaedah pengambilan air liur untuk ujian saringan COVID-19.

Ketika ini, katanya, KKM menggunakan kaedah persampelan melalui hidung dan mulut.

Beliau berkata, persampelan air liur itu akan digunakan untuk kedua-dua ujian RT-PCR dan RTK-Ag bagi mengesan jangkitan dalam populasi.

“Kita harap dapat laporan lengkap sebelum kita mengetengahkan kaedah persampelan penggunaan air liur untuk menjalankan saringan RTK-Ag atau RT-PCR. Oleh- FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.