Jangan pertikai ahli parlimen suntik vaksin awal

51

4 MAC: Pengambilan vaksin dalam kalangan ahli parlimen bagi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tidak wajar dipertikaikan memandangkan mereka golongan berisiko tinggi.

Pakar Virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, majoriti ahli parlimen berusia 50 tahun ke atas dan lebih berisiko terdedah kepada jangkitan wabak itu.

SAZALY

“Apa salahnya ahli parlimen dan wakil rakyat didahulukan dalam pemberian imunisasi ini kerana bagi pandangan saya sebagai pakar tidak ada masalah kerana dengan tanggungjawab serta peranannya, ditambah usia mereka, memang ok sahaja diberi awal.

“Patutnya tiada istilah ‘potong barisan’ atau pertikaian jika mereka diberi vaksin awal. Kumpulan ini adalah pemimpin yang kerap turun padang dan bertemu orang ramai, sudah pastinya terdedah dengan risiko yang tinggi.

“Jadi pengambilan vaksin ini boleh menjadi perisai diri sendiri dan orang sekeliling mereka dalam usaha menangani penularan COVID-19,” katanya ketika dihubungi PN BBC.

Sazaly berkata, beliau berpendapat suntikan vaksin itu juga perlu didahulukan kepada individu awam berusia 50 tahun ke atas, penduduk di kawasan zon merah dan pekerja dalam bidang yang memerlukan ramai tenaga kerja, seperti perkilangan, pembangunan serta tapak bina.

Katanya, golongan itu sangat penting untuk diberikan vaksin kerana faktor usia, persekitaran dan keadaan tempat kerja yang jelas berisiko tinggi.

“Tiada data menunjukkan orang muda terdedah kepada risiko jangkitan lebih teruk, kadar kematian tinggi atau rawatan lebih rapi, berbanding individu berusia 50 tahun ke atas,” katanya.

Sementara itu, Sazaly menegaskan, satu strategi jelas dalam pengagihan vaksin kepada kumpulan sasaran mengikut keutamaan usia dan persekitaran individu perlu diumumkan.

Usaha itu, katanya, penting bagi memastikan rakyat, terutama golongan muda memahami siapa dan mengapa harus didahulukan, menggalakkan kesedaran individu yang lebih berisiko, selain mengelakkan ketidakpuasan hati.

Ditanya tindakan segelintir individu atau kumpulan yang menyebarkan dakyah menghasut rakyat supaya tidak mengambil vaksin COVID-19, Sazaly menganggap mereka sebagai ‘golongan tidak sedar diri’.

Tegasnya, golongan terbabit perlu sedar suatu masa dahulu, Malaysia dipenuhi Polio yang mengakibatkan ramai cacat diserang penyakit itu, tetapi keadaan berkenaan pulih apabila kerajaan mewajibkan suntikan Polio diberikan kepada setiap kanak-kanak di negara ini.

“Kita patut berterima kasihlah kepada mak ayah kita yang menyelamatkan kita ketika itu dengan membawa kita mendapatkan vaksin. Dalam badan kita sekarang pun ada vaksin kan.

“Saya mahu bertanya apa kepentingan mereka berbuat demikian, Islam pun mengajar kita untuk bertanggungjawab dan melindungi diri, keluarga, jiran serta orang sekeliling daripada kemudaratan.

“Kerajaan sudah memastikan vaksin COVID-19 selamat, lagipun bukan senang membawa masuk ke Malaysia, banyak proses kajian dan tapisan untuk menjaga keselamatan serta kesihatan rakyat.

“Sebagai ibu bapa, adakah kita mahu bertanggungjawab dan melihat anak kita terdedah kepada risiko COVID-19,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.