Hari ‘paling berdarah’, 38 terbunuh dalam tunjuk perasaan di Myanmar

35

4 MAC : Seramai 38 orang terbunuh di Myanmar ketika pasukan tentera mematahkan tunjuk perasaan di beberapa bandar dan pekan pada hari Rabu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB menyuarakan kebimbangan mengenai hari paling ganas sejak demonstrasi menentang rampasan kuasa tentera bulan lalu pertama kali meletus.

Polis dan tentera melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup dengan sedikit amaran, kata saksi.

Pertumpahan darah itu berlaku sehari selepas negara-negara jiran Asean meminta pemerintahan tentera di Myanmar mengelakkan keadaan yang mungkin mencetuskan ketidakstabilan di rantau ini.

“Ini mengerikan, ini pembunuhan beramai-ramai (massacre). Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan keadaan dan perasaan kami,” kata aktivis muda Thinzar Shunlei Yi, memetik laporan Reuters.

Mereka yang terbunuh termasuk empat kanak-kanak, kata sebuah agensi bantuan. Ratusan penunjuk perasaan ditangkap, lapor media tempatan.

“Hari ini adalah hari paling berdarah sejak rampasan kuasa berlaku pada 1 Februari. Pada hari ini saja… hanya hari ini…  ada 38 orang maut.

“Sekarang di Myanmar sudah lebih 50 orang meninggal dunia sejak rampasan kuasa bermula, dan ramai yang cedera,” kata Utusan Khas PBB ke Myanmar, Christine Schraner Burgener.

Majlis Keselamatan PBB dijangka membincangkan keadaan Myanmar pada hari Jumaat dalam pertemuan tertutup, kata diplomat.

Di Washington, jurucakap Jabatan Negara, Ned Price berkata, Amerika Syarikat  terkejut dengan peningkatan keganasan di Myanmar.

“Pentadbiran Presiden Joe Biden sedang menilai langkah-langkah sesuai untuk bertindak balas dan tindakan apa pun akan disasarkan kepada tentera Myanmar,”  katanya.

Amerika Syarikat telah menyatakan kepada China bahawa Beijing perlu memainkan peranan yang membina di Myanmar, kata jurucakap itu.

Parti pimpinan Aung San Suu Kyi, Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) menang pilihan raya umum November lalu.

Bagaimanapun, tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, beberapa jam sebelum parlimen bersidang.

Tentera menahan Kaunselor Negara, Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin kanan NLD.

Junta juga mengisytiharkan perintah darurat setahun dan berjanji untuk ‘mengambil tindakan’ terhadap tuduhan penipuan undi semasa pilihan raya umum 8 November,  yang dimenangi parti NLD.

Pemimpin junta tentera, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing telah berjanji untuk mengadakan pilihan raya baru tetapi tidak memberi jangka masa.

Suu Kyi, 75, telah ditahan tanpa komunikasi sejak kudeta itu tetapi muncul pada sidang mahkamah melalui sidang video minggu ini dan kelihatan sihat, kata seorang peguam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.