Enam hospital universiti jadi pusat pemberian vaksin

15

4 MAC: Sebanyak enam hospital pengajar universiti (HPU) diberi tanggungjawab sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi membantu kerajaan melaksanakan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), bermula pada 25 Februari lalu.

Enam HPU berkenaan ialah Pusat Pakar Perubatan Universiti Teknologi Mara (PPUiTM); Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM); Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM); Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM); Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM) dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, keenam-enam HPU itu terbabit bertindak sebagai PPV bagi fasa pertama PICK dan sudah menerima vaksin secara berperingkat sejak 25 Februari, dengan PPUM, HCTM UKM, HUSM dan SASMEC @IIUM mulai 1 Mac manakala PPUiTM (2 Mac) serta HPUPM (mulai 15 Mac).

NORAINI

“Namun, Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), ketika ini belum berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dijadikan sebagai PPV. Permohonan sudah dibuat kepada KKM dan HUMS bersedia sekiranya dilibatkan untuk fasa seterusnya.

“Sehingga kini, sejumlah 22,018 dos vaksin sudah diperuntukkan KKM kepada HPU bagi kegunaan barisan hadapan di HPU,” katanya pada sidang media selepas meninjau proses vaksinasi barisan hadapan di PPUiTM, Sungai Buloh, Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Noraini berkata, pemberian vaksin itu turut membabitkan sebahagian petugas di Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian dan Pusat Kesihatan Universiti masing-masing.

Memperincikan pecahan pemberian dos vaksin suntikan pertama mengikut HPU, beliau berkata, PPUM menerima 9,389 dos; HCTM UKM (4,134 dos); HUSM (3,148 dos); SASMEC @IIUM (2,370 dos); HPUPM (1,547 dos); PPUiTM (1,254 dos) dan HUMS (176 dos).

Beliau turut memaklumkan kesemua HPU berkenaan sudah mengendalikan kes pesakit dan ujian saringan Covid-19 sejak tahun lalu.

Ditanya sama ada HPU mempunyai kapasiti bagi menyimpan bekalan vaksin di bawah PICK, Noraini berkata, ketika ini KKM memutuskan HPU hanya berperanan sebagai PPV dan tidak dijadikan sebagai Pusat Simpanan Vaksin (PSV) berikutan kekangan peti sejuk beku sedia ada.

“Bagaimanapun, pihak KKM akan membekalkan tiga buah peti sejuk ‘top-loading’ kepada SASMEC @IIUM serta sebuah peti sejuk ‘top-loading’ dan empat buah ‘cool box’ kepada HPUPM bulan ini bagi simpanan vaksin masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata, beliau akan menerima suntikan vaksin pada masa yang bersesuaian kerana barisan hadapan yang antaranya doktor, jururawat dan petugas makmal di HPU yang berisiko perlu diberikan keutamaan.

“Saya percaya mereka ini frontliners yang perlu kita utamakan. Saya minta supaya mereka ini diberi keutamaan untuk mendapat vaksin.

“Insya-Allah saya akan menerima vaksin pada fasa yang seterusnya, bukan takut tetapi beri keutamaan kepada barisan hadapan di HPU,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.