COVID-19: 2,063 kes baharu, 5 kematian

19

4 MAC: Kes baharu COVID-19 kembali menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 2,063 kes direkodkan setakat tengah hari ini.

Angka itu menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 307,943 kes dengan 23,161 kes aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan itu, sebanyak 2,054 adalah kes tempatan, manakala sembilan kes import.

“Seramai 193 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 99 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak lima kes kematian yang kesemuanya membabitkan warganegara direkodkan yang menjadikan jumlah kematian membabitkan COVID-19 di negara ini sebanyak 1,153 kes atau 0.38 peratus.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes di Selangor, dan masing-masing satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pahang. Kesemua kes melibatkan warganegara, ujar Dr Noor Hisham.

Katanya lagi, Selangor kekal mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu 630 kes yang mana daripada jumlah itu sebanyak 526 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif di lapangan.

Ini diikuti Sarawak dengan 361 kes dan Pulau Pinang, 337 kes.

KKM juga merekodkan jumlah kes sembuh sebanyak 2,922 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 283,629 kes atau 92.10 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan di Malaysia setakat ini.- Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.