Vaksin COVID-19, Malaysia akur syarat haji Arab Saudi

97

3 MAC: Malaysia akur dengan keputusan kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan bakal jemaah haji pada tahun ini perlu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 terlebih dahulu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata, perkara itu tidak menjadi masalah besar kerana sebelum ini jemaah yang ingin ke Makkah juga perlu mengambil suntikan vaksin seperti yang disyaratkan.

AHMAD MARZUK

“Jika ini sudah ditetapkan kerajaan Arab Saudi, kita kena ikut syarat terbabit. Jadi semua kena akur dan mereka yang terpilih untuk menunaikan haji nanti, perlu akur.

“Seperti yang kita ketahui, sebelum ini jemaah yang ingin menunaikan umrah atau haji perlu ambil suntikan vaksin (Meningococcal Meningitis) juga. Jadi ini sudah menjadi satu kemestian,” katanya ketika dihubungi PNBBC hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan bakal jemaah haji tahun ini mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 seperti dilaporkan media antarabangsa.

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah, berkata vaksin COVID-19 adalah wajib dan menjadi sebahagian daripada syarat utama untuk semua Jemaah haji yang akan menunaikan ibadah itu Julai nanti.

Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan haji, namun berkata suntikan vaksin adalah syarat utama.

Dalam pada itu, ditanya bila jemaah Malaysia dibenarkan untuk menunaikan haji, Ahmad Marzuk berkata, perkara itu masih belum diketahui.

“Setakat ini, jumlah kuota pun masih belum kita tahu dan jumlah jemaah keseluruhan semua negara pun belum ada hitam putih (maklumat),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.