UMNO rugi jika putus hubungan dengan PN pada PRU-15

141

3 MAC: Tindakan UMNO untuk tidak bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas parlimen dibubarkan akan memberikan kerugian kepada parti itu.

Bekas Setiausaha BN, Tan Sri Annuar Musa turut mempersoalkan sekiranya benar keberadaan UMNO dalam kerajaan hanya sehingga parlimen dibubarkan, apakah antara tarikh pembubaran hingga Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan, parti itu tidak berada dalam kerajaan sementara.

“Tidakkah tindakan yang dibuat dalam keadaan tarikh PRU-15 belum diputuskan, memberi disadvantage (merugikan) kepada UMNO, kerana sudah tentu pihak kerajaan, khususnya Bersatu mungkin tidak lagi memberi kerjasama kepada pemimpin UMNO, yang sudah mengambil pendirian menentang atau menolak Bersatu.

“Tidak berkerjasama dengan Bersatu bererti tidak berkerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri dari ahli gabungan parti parti Bersatu, PAS, Gerakan, PBS, STAR dan lain-lain. Apakah ini menguatkan atau melemahkan parti,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh memberitahu, jika keputusan itu telah dibuat, maka akar umbi UMNO berhak mengetahui dengan parti mana UMNO akan bekerjasama dalam membentuk kerajaan.

“Bersendirian?… dengan PKR dan Anwar?… dengan DAP dan Lim Kit Siang?… jajaran baharu?

“Apakah keputusan ini sudah diterima oleh Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), sedangkan dalam PRU kita bertanding atas nama BN?

“Sebagai ahli,kita menunggu penjelasan para pemimpin. Sudah lama akar umbi dalam kekaburan tanpa mengetahui ke mana hala tuju parti sebenarnya.

“Jika keputusan benar (sudah) dibuat, usah bersembunyi. Beranilah berterus terang dengan ahli. Beritahulah pada ahli dan akar umbi. Kita tunggu penjelasan terhadap perkara perkara ini,” katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Annuar menjelaskan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan telah menulis surat kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin memaklumkan keputusan MT UMNO itu.

Tambah beliau, isi kandungan surat itu menyampaikan perkara berikut iaitu yang pertama, tidak ada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan UMNO berpendapat kebersamaan parti itu dalam kerajaan hanyalah sehingga parlimen dibubarkan.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, akar umbi UMNO berhak mengetahui jika benar surat itu telah disampaikan kepada perdana menteri dan kenapa mereka tidak dirundingkan.

“Ahli juga perlu tahu, apakah benar-benar perkara tersebut sememangnya diputuskan oleh mesyuarat MT Umno.

“Jika benar tentu ahli mahu tahu, rasional keputusan itu dibuat sekarang, sedangkan pilihan raya tak tahu bila.

“Banyak persoalan yang timbul. Kenapa sudah diputuskan tidak berkerjasama sekarang, sedangkan ada usul-usul sedemikian yang perlu dibawa ke Perhimpunan Agong UMNO (PAU) terlebih dahulu. Mengapa mendahului PAU,” soalnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.