Trend penurunan kes harian diharap terus konsisten

13

3 MAC : Trend penurunan kes harian baharu jangkitan COVID-19 diharapkan terus konsisten memandangkan selama tiga hari berturut-turut kes jangkitan baharu berada di bawah angka 2,000.

Hari ini, Kementerian Kesihatan mengesan sebanyak 1,745 kes positif baharu COVID-19 direkodkan setakat tengah hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 305,880 kes dengan 24,025 kes aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, sebanyak 1,743 kes membabitkan penularan tempatan, iaitu 1,037 warganegara atau 59.5 peratus dan 706 bukan warganegara, manakala dua jangkitan import membabitkan warga asing.

Beliau berkata Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 640 kes (36.7 peratus) termasuk 503 kes (78.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 376 kes (21.5 peratus) dan Sarawak sebanyak 139 kes (8.0 peratus). Sebanyak 47 kes (2.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Telok Mas (20 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (13 kes), Kluster Damai Pelangi (13 kes), dan Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (1 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak tujuh kematian direkodkan menjadikan jumlah kematian membabitkan COVID-19 di negara ini sebanyak 1,148 atau 0.38 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan setakat ini.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan dua kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan masing-masing satu kes di Selangor, Sarawak, Sabah, Johor, dan Kelantan.

“Sebanyak enam kes melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.- Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.