Tak patuh SOP: 296 Dikompaun, 8 Direman

14

3 MAC : Seramai 8,824 warga asing di negara ini menjalani ujian saringan semalam dengan 36 individu disahkan positif COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan sehingga semalam, seramai 559,619 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19.

Beliau berkata, ia membabitkan 29,262 majikan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,842 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 550,777 lagi adalah negatif.

“Sehingga kini, sebanyak 1,503 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, ujian saringan COVID-19 itu diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu.

Dalam pada itu, mengenai task force pematuhan, beliau memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 305 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 296 individu dikompaun manakala lapan orang pula direman serta seorang dijamin.

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (100), tidak memakai pelitup muka (80), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (48), dan tiada penjarakan fizikal (40),

“Selain itu, kesalahan yang turut dicatatkan iaitu aktiviti Pusat Hiburan (17), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (5), keluar rumah tanpa alasan munasabah (3) dan lain-lain (12),” katanya.

Sementara itu, berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta dua buah kenderaan darat.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 129 buah bot/kapal di perairan negara melalui lima operasi penglihatan.

“Selain itu, seramai 14 orang PATI turut diusir menerusi dua operasi pengusiran,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 135,018 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 76 hotel dan 13 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Semalam, seramai 816 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Seramai 7,549 individu telah dikuarantin dan 126,619 orang dibenarkan pulang manakala 850 lagi dibawa  ke hospital,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.