Speaker DUN Sabah sahkan Hassan kekal ADUN Sebatik

54

3 MAC: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, mengesahkan ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir kekal wakil rakyat bebas sokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut Kadzim berkata, Hassan kekal sebagai ADUN Sebatik kerana beliau tiada niat untuk kosongkan kerusi DUN di sebaliknya hanya bertindak keluar Parti Warisan.

HASSAN

Kadzim berkata, surat perletakan jawatan Hassan sebagai ADUN Sebatik yang dikemukakan Warisan tidak terpakai kerana ia ‘ditandatangani lebih awal’ dan tidak bertarikh.

“Saya juga menerima satu dokumen akaun bersumpah daripada Hassan pada jam 11.45 pagi semalam yang memaklumkan dia tidak berniat mengosongkan kerusi DUN Sebatik, sebaliknya dia mengambil keputusan keluar daripada Parti Warisan Sabah dan menjadi ADUN Bebas menyokong penuh kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Selain itu, saya juga menerima sepucuk surat daripasa Setiausaha Agung Warisan kepada pembantu saya mengenai perletakan jawatan Yang Berhormat (YB) Sebatik.

“Justeru itu, saya mengambil masa untuk meneliti kedua-dua dokumen berkenaan dan selepas berbuat demikian saya mendapati surat perletakan jawatan YB Sebatik diserahkan oleh Setiausaha Agung Warisan yang dikatakan ditandatangani oleh Hassan berkenaan dengan sendirinya tidak efektif.

“Sebab mengikut undang-undang sedia ada, sekarang sebarang peletakan jawatan ditandatangani lebih awal dan tidak bertarik adalah tidak sah atau terbatal.

“Justeru itu, saya tidak boleh menerima surat peletakan jawatan YB Sebatik dikemukakan oleh Setiausaha Agung Warisan berkenaan. Tambahan pula Hassan sendiri menulis surat akaun bersumpah untuk membatalkan apa yang dinyatakannya sebelum ini,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

Terdahulu, surat itu diserahkan Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Loretto Padua kepada pejabat Kadzim di Bangunan DUN Sabah pada kira-kira 12.15 tengah hari Selasa untuk dipertimbangkan supaya kerusi DUN tersebut dikosongkan.

Menurut kandungan surat bertarikh 26 Februari lalu itu, selaras dengan ikrar kesetiaannya, Hassan menyerah dan memaklumkan meletak jawatan sebagai ADUN serta-merta.

Surat itu juga menyatakan Hassan faham bahawa dengan tindakan tersebut, beliau tidak layak untuk menjadi calon Adun Sabah selama lima tahun bermula tarikh surat berkenaan.

Turut dilampirkan, surat Tetuan Adnan Puteh & Saleh yang menyebut firma guaman itu mewakili Hassan untuk menyerahkan surat tersebut.

Sebelum ini, Hassan dalam wawancara eksklusif bersama Bernama pada 25 Februari lalu mengumumkan keluar parti atas alasan Warisan masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat, namun tidak menyatakan bahawa beliau meletak jawatan sebagai ADUN Sebatik.

Dalam wawancara itu, Hassan memaklumkan beliau kini seorang ADUN Bebas yang menyokong Kerajaan Negeri Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Isnin lepas, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata, surat peletakan jawatan itu juga akan diserah kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mohd Shafie berkata, parti itu sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Hassan yang mengumumkan keluar parti dan menjadi ADUN bebas menyokong Gabungan Rakyat Sabah pada Khamis lepas.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada September tahun lepas, Hassan memenangi kerusi DUN Sebatik atas tiket Warisan dalam persaingan tujuh penjuru dengan memperoleh 2,665 undi. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.