Rondaan polis boleh paksa ibu bapa murid patuh SOP

32

3 MAC: Pemantauan berkala oleh pihak berkuasa termasuk polis perlu kerap dilakukan bagi memastikan ibu bapa murid mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika sesi persekolahan berlangsung.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, tindakan proaktif itu dapat menjadi peringatan kepada ibu bapa murid yang menghantar serta menjemput pulang anak mereka.

aminuddin NUTP
AMINUDDIN

“Pematuhan SOP dalam kawasan sekolah sudah dipratikkan seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM), tetapi apa yang dibimbangkan adalah ketika mereka berada di luar pagar sekolah.

“Mungkin polis boleh membuat rondaan ketika sesi rehat atau tamat waktu persekolahan untuk memastikan murid dan ibu bapa mengamalkan SOP sepatutnya.

“Apapun saya yakin kehadiran ibu bapa yang ramai, terutama membabitkan murid tahun satu ini bersifat jangka masa pendek yang mungkin dalam tempoh dua minggu awal disebabkan perasaan teruja merasai pengalaman menghantar anak ke sekolah,” katanya ketika dihubungi.

Presiden Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor, berkata pengurusan sekolah disaran bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang situasi COVID-19 kerana usaha itu penting bagi mengurangkan risiko penularan wabak terbabit.

Katanya, pemantauan daripada pihak PBT itu juga boleh mengelakkan kemungkinan jangkitan dalam kalangan murid.

“GPMS bimbang jika usaha seperti ini tidak dilakukan, SOP menjadi sukar untuk dijaga sebaiknya dan berisiko mengakibatkan penularan,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pinggiran Putra, Fatimah Ismail pula berkata, dalam memastikan SOP dipatuhi murid secara berkesan, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk bekerjasama dengan pihak sekolah.

Katanya, PIBG dan pihak sekolah berkenaan sudah mengambil usaha bersama yang terbaik dalam mengawasi setiap pelajar dengan mengadakan mesyuarat berkala bagaimana kaedah berkesan melaksanakan SOP ke atas murid, terutama di tahap satu.

Antara pendekatan diambil SK Desa Pinggiran, katanya, menempatkan pelajar di dewan utama secara tersusun selepas tamat sesi kelas sementara menunggu ibu bapa tiba.

“Kita sangat menjaga SOP untuk keselamatan pelajar dan hanya membenarkan mereka keluar dari pagar utama sebaik ibu bapa tiba, kita akan panggil nama murid mengikut tag nama dan kelas yang sebelum itu diberikan kepada ibu bapa.

“Cuma ada segelintir ibu bapa tidak sabar menunggu giliran dan menganggap keadaan ini menyusahkan.

“Justeru, diharap pihak berkuasa boleh membantu mengawal laluan atau SOP di luar pagar sekolah supaya usaha sekolah dipermudahkan,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Samsilah Roslan berkata, dua pendekatan iaitu Kognitif dan Perlakuan boleh dipratikkan ibu bapa serta sekolah bagi memastikan murid mematuhi SOP sepanjang waktu persekolahan.

Katanya, kognitif adalah tindakan mengingatkan murid berulang kali supaya mereka boleh mempratikkan arahan atau ingatan diberikan.

Beliau berkata, perlakuan memerlukan ibu bapa dan guru menjadi tauladan sebaiknya berhubung SOP terbaik supaya murid dapat mengamalkannya tanpa ragu.

“Kognitif ini kita kena beri alasan jelas kepada murid mengapa mereka perlu mematuhi SOP dan akibatnya jika tidak berbuat demikian. Kena buat selalu dan konsisten supaya murid tidak lupa kerana sifat semulajadi kanak-kanak begitu.

“Manakala perlakuan memerlukan ibu bapa dan guru menunjukkan tingkah laku betul, contohnya memakai pelitup muka setiap kali berada di luar. Kegagalan mempratikkan pendekatan ini membuatkan murid memberontak dan merasa tidak adil kenapa mereka tidak boleh, tetapi orang lain melakukannya.

“Pendekatan kognitif dan perlakuan ini mesti dibuat secara konsisten,” katanya.

Samsilah berkata, secara peribadi, beliau kurang yakin dengan konsep mengenakan hukuman dipratikkan segelintir ibu bapa supaya anak menuruti SOP.

Hukuman, katanya, mencetuskan perasaan kurang positif dalam diri anak, seperti benci kerana perlu melakukan sesuatu disebabkan terpaksa atau takut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.