Polis sahkan suami Zeti disiasat berkaitan skandal 1MDB

963

3 MAC : Polis mengesahkan sedang menyiasat suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, iaitu Datuk Dr. Tawfiq Ayman berhubung dakwaan berkaitan skandal 1MDB.

Siasatan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA), menurut pengarah jabatan itu Datuk Zainuddin Yaacob.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial mengesahkan siasatan masih dijalankan terhadap Tawfiq di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA, berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun bank miliknya di Singapura.

“Memandangkan siasatan kes ini melibatkan keterangan di Malaysia dan juga di luar negara, PDRM sedang mengambil tindakan susulan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 bagi mendapatkan keterangan yang berada di luar negara,” kata Zainuddin dalam kenyataan hari ini.

Zainuddin juga menggesa orang ramai agar tidak membuat apa-apa kenyataan atau spekulasi, melalui mana-mana platform, sehingga siasatan polis selesai dan hasil siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara

Get real time updates directly on you device, subscribe now.