Peruntukan baharu, pindaan Ordinan Darurat kuat kuasa 11 Mac

89

3 MAC : Lima peruntukan baharu di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) (Pindaan) 2021 di samping lima peruntukan sedia ada yang dipinda akan mula berkuat kuasa pada 11 Mac ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pindaan dan peruntukan baharu yang dibuat dalam Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) bertujuan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Antara peraturan dibuat adalah berkaitan langkah-langkah di dalam tempat jangkitan, fee dan charge serta layanan perubatan dan penyelenggaran orang yang akan dipindahkan ke stesen kuarantin.

“Secara keseluruhan, 10 peruntukan merangkumi lima peruntukan pindaan sedia ada dalam Akta 342 dan lima peruntukan baharu dimasukkan dalam ordinan ini.

“Terdapat keperluan segera kerana ketika proklamasi darurat di mana ia akan mengambil masa jika melalui proses biasa di sidang parlimen,” katanya pada sidang media bersama beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Pejabat Menteri Kesihatan, hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin ketika menerangkan perincian akta yang penting, beliau menjelaskan bahawa Seksyen 22(1) kini telah memberi kuasa kepada pegawai kesihatan yang berkhidmat dalam perkhidmatan persekutuan seperti badan-badan berkanun pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperluaskan peranannya dalam memerangi wabak COVID-19.

Menurut beliau, bagi pindaan seksyen 10, ia telah dipinda bagi membolehkan pengamal perubatan memberitahu kewujudan apa-apa penyakit berjangkit di mana-mana premis atau tanpa pengesahan melalui ujian makmal bagi memastikan siasatan pencegahan penularan jangkitan awal sementara menunggu keputusan makmal.

“Kemudian Seksyen 15 (a), ini satu perkara dan peruntukan baharu iaitu perintah bagi memakai peranti pengesanan di mana seksyen ini membolehkan penggunaan peranti pengesan dengan teknologi terkini bagi mengawal orang yang dijangkiti atau mereka disyaki dijangkiti penyakit berjangkit dan mereka yang telah diarahkan di bawa peraturan pencegahan dan pengawalan,”katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, seksyen yang menjadi keutamaan beliau dan Adham adalah Seksyen 24 di mana pindaan akta ini sebelum ini hanya membenarkan hukuman penjara tidak lebih dari dua tahun dan didenda atau kedua-duanya sekali, namun jika denda tidak dinyatakan, tertakluk di bawah Sekyen 27 Akta Tafsiran hanya membenarkan denda tidak melebihi RM1,000

Menurut beliau, dengan keadaan itu, walaupun pelbagai penguatkuasaan telah dilakukan kerajaan namun dengan kompaun RM1,000 menyebabkan masih ramai yang  tidak mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan dan kerana itu kerajaan berpandangan jumlah ini perlu ditingkatkan.

“Oleh sebab itu, ordinan ini di bawah Seksyen 24 telah diubah di mana menerusi ordinan darurat ini akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan dendanya dipinda dengan dinaikkan tidak melebihi RM10,000 untuk orang awam manakala RM50,000 untuk syarikat. Jangan ada pihak cuba kelirukan perkara ini kerana undang-undang tidak menyatakan mesti RM10,000

“Pihak berkuasa mempunyai budi bicara berdasarkan keadaan kes itu. Kalau kes biasa akan diberikan dalam keadaan munasabah, namun kalau kes besar sebagai contoh premis-premis perniagaan tidak dibenarkan tetapi masih dibuka operasi dan juga mereka yang mengunjungi premis itu.

“Yang penting kita lakukan ini supaya langkah ini dapat kita kurangkan lagi penularan dalam memerangi wabak COVID-19,”katanya.  – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.