Penyebar dakyah palsu vaksin COVID-19 wajar diambil tindakan

49

3 MAC: Tindakan tegas wajar dikenakan terhadap individu atau kumpulan yang menyebarkan dakyah menghasut rakyat supaya tidak mengambil vaksin COVID-19.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Reproduktif Malaysia (RHAM), Syirin Junisya Mohd Ali, berkata tindakan golongan berkenaan bukan sahaja boleh memudaratkan rakyat malah negara.

“Tindakan perlu dikenakan terhadap golongan ini kerana perbuatan mereka boleh mempengaruhi masyarakat dan akhirnya dikhuatiri menggalakkan lebih ramai orang untuk tidak mengambil vaksin.

“Walaupun pada saya hukuman penjara dilihat terlalu keras tetapi jika perbuatan mereka boleh membawa kepada kemudaratan terhadap kesihatan masyarakat, mungkin boleh dipetimbangkan,” katanya ketika dihubungi PNBBC hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan golongan berkenaan suka bertindak berdasarkan emosi dan sentimen tanpa mengambil kira kepentingan awam.

Sementara itu, pakar kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, berkata biarpun Pengambilan vaksin COVID-19 tidak diwajibkan, hanya itu satu-satunya jalan keluar bagi mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok.

Beliau berkata, tindakan golongan yang suka menyebarkan dakyah berkaitan vaksin itu secara tidak langsung boleh menjejaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Memang pengambilan vaksin ini tidak wajib tetapi kalau rakyat ingin kembali kepada kehidupan normal seperti dahulu, boleh melancong, duduk minum di kedai bersama kawan dan menonton wayang dengan bebas, ini jalan yang terbaik.

“Bagi pihak yang tidak mahu mengambil vaksin, jangan satu hari nanti mereka akan berasa malu sebab terpaksa mendapatkan imunisasi ini, mungkin untuk pergi menunaikan haji dan urusan yang memerlukan mereka berbut demikian,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkukuhkan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berhubung isu penyebaran berita palsu, terutama berkaitan vaksin COVID-19.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, dilaporkan berkata melalui Ordinan Darurat sudah ditetapkan undang-undang untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan penyebaran berita palsu.

Beliau berkata, KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalin kerjasama dengan KKMM bagi menangani masalah itu, malah kerajaan memandang serius perkara berkenaan yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.