PAS : Sajat Dinasihat Bertaubat, Istighfar Kepada Allah

65

3 MAC : Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menasihati usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, 36, supaya bertaubat dan beristighfar kepada Allah.

Ketua DMPM, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, perbuatan untuk menukar agama merupakan antara perkara yang mempersendakan agama Islam.

“Muhammad Sajjad dinasihatkan untuk bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT supaya tindakan yang dilakukannya diampunkan.

“Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Pengasih, maka pohonlah keampunan kepadaNya dengan bertaubat secara bersungguh-sungguh,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Semalam, satu rakaman video memaparkan Nur Sajat yang mahu keluar Islam tular di media sosial.

Namun tidak dapat dipastikan bila tarikh video itu dimuat naik.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 67 saat berkenaan, Nur Sajat mendakwa tindakannya itu susulan kenyataan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dalam pada itu, Nuridah yang merupakan Ahli Dewan Negara memberitahu,  umat Islam dilarang untuk menyatakan sesuatu yang membawa maksud murtad.

Menurut beliau, Islam adalah agama dan cara hidup yang datang daripada Allah untuk kesejahteraan dan keadilan semua makhluk di muka bumi.

“Kita tidak akan terlepas daripada diuji oleh Allah SWT. Semua manusia mempunyai pilihan sama ada ingin melakukan perkara kebaikan atau kejahatan,” katanya.

Namun, tambah beliau, ia bukanlah tiket untuk memilih jalan yang salah.

“Mudah-mudahan Muhammad Sajjad dipandu oleh Allah SWT untuk kembali kepada fitrah asal sebagai muslim yang baik.

“Didoakan juga untuknya agar dikurniakan hidayah dan menemui jalan yang diredhai oleh Allah SWT,” katanya. – OLEH AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.