MB Kelantan Masuk Hospital Bukan Kerana Kesan Vaksin

218

3 MAC : Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dimasukkan ke wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, malam tadi bukanlah kesan sampingan daripada suntikan vaksin COVID-19 yang diterimanya semalam. 

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata  Ahmad dikejarkan ke hospital selepas mengadu keletihan dan sakit kepala.

“Beberapa hari lepas, beliau sudah mengadu bahawa beliau alami sakit kepala, tidurnya terganggu dan tidak cukup tidur.

“Datuk Ahmad dimasukkan ke wad sekitar jam 7 malam tadi, selepas kepenatan dan mengadu mengalami sakit kepala” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahmad selaku individu terawal di Kelantan mengakui berdebar sebelum disuntik vaksin COVID-19 tersebut semalam di di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan

Ahmad berkata, debaran itu dirasainya gara-gara pelbagai versi diceritakan mengenai vaksin COVID-19 yang pernah diperkatakan orang ramai.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja disuntik vaksin, saya tidak berasa sakit, ia hanya suntikan biasa sahaja.

“Oleh itu, saya hendak beritahu kepada orang ramai agar jangan takut untuk menerima suntikan vaksin COVID-19” katanya. 

Dalam pada itu, Izani memberitahu Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan keadaannya dilaporkan stabil serta memerlukan rehat secukupnya. 

“Ahmad dikejarkan ke hospital selepas merasa sakit kepala dan keletihan ketika berada di rumahnya.

” Ketika saya berada di rumahnya (semalam), beliau sekali lagi mengadu sakit kepala dan saya bersama ahli keluarganya membawa beliau ke HUSM,” katanya.

Sementara itu, Izani turut menjangkakan kemungkinan Ahmad dibenarkan keluar esok. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.