Lebih banyak hospital swasta terbabit PICK mulai April

35

3 MAC: Kerajaan menjangkakan lebih banyak hospital swasta akan terbabit dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terutamanya apabila program berkenaan memasuki fasa dua dan  tiga, bermula April depan.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata,  sebagai permulaan hospital swasta seperti Hospital Pantai dipilih untuk dijadikan pusat vaksinasi bagi kakitangan dan petugas kesihatan dalam fasa pertama PICK.

KHAIRY

“Selepas ini kami akan libatkan lebih banyak hospital swasta untuk fasa dua dan tiga seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Semuanya akan dilibatkan. 75,000 hingga 150,000 individu akan menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam sehari, sepanjang fasa berikutnya,” katanya dalam satu ciapan menerusi akaun Twitternya hari ini.

Khairy berkata demikian menjawab kenyataan Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan (PH) yang mencadangkan, Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan segera kolaborasi dengan hospital swasta untuk bersama-sama menjayakan NCIP dengan lebih cepat bagi mencapai imuniti kelompok 80 peratus.

Program vaksinasi fasa kedua membabitkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 termasuk mereka ialah warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan golongan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga pula pemberian suntikan kepada golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula dari Mei 2021 hingga Febuari 2022.

Media semalam melaporkan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh dipetik sebagai berkata kebanyakan hospital swasta bersedia memperoleh vaksin daripada sumber lain sebaik kelulusan diberikan oleh Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi membantu kerajaan mencapai imunisasi kelompok lebih cepat.

Dr Kuljit berkata sektor itu berpendapat kerajaan perlu dibantu memandangkan tempoh pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijangka hanya tamat pada Februari tahun depan terlalu panjang dan tidak boleh diterima.

Katanya hospital swasta boleh digerakkan untuk melengkapi usaha kerajaan dalam memastikan majoriti penduduk dapat divaksinasikan dalam tempoh yang singkat ke arah mencapai imuniti kelompok. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.