Dua Wanita Maut Dalam Insiden Runtuhan Jejambat MRR2

155

3 MAC : Dua wanita pekerja kilang meninggal dunia akibat dihempap dalam insiden runtuhan struktur pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), petang tadi.

Manakala dua lagi rakan mereka bersama seorang lelaki yang juga pemandu van terselamat dan mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata semua mangsa yang juga rakyat tempatan dilaporkan dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Pemandu van itu dibawa keluar pada jam 8.50 malam. Penumpang dibawa keluar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur pada jam 9.15 malam sehingga 9.27 malam

“Berdasarkan laporan awal semua mangsa berusia antara 30 hingga 45 tahun. Mangsa yang terselamat dikejarkan ke Hospital Canselor Tunku Mukhriz untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zulkefly berkata, pemandu treler yang melanggar perancah besi berkenaan sudah membuat laporan polis dan kini berada di Balai Polis Sungai Besi.

“Berdasarkan maklumat awal, treler yang membawa muatan besi itu didapati tidak membawa muatan berlebihan. Treler itu turut dikawal oleh kenderaan peronda,” katanya.

Sebelum ini, pemaju SUKE, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd, berkata treler yang melanggar perancah besi pembinaan Lebuhraya SUKE membawa muatan berlebihan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.