‘Tak rasa sakit, tak perlu bimbang’ – Annuar Musa

25

2 MAC : Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Kesihatan Kuala Lumpur, hari ini.

Ditemui media di luar klinik kesihatan, Annuar berkata, proses suntikan vaksin itu dijalankan dengan tertib dan cermat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Proses suntikan berjalan dengan baik dan suntikan tiada pun rasa sakit. Jangkaan saya lebih sakit daripada itu dan telah diberi 30 minit untuk melihat jika ada reaksi (kesan sampingan) yang berlaku.

“Dan ternyata tiada sebarang reaksi. Jadi, pengalaman ini satu testimoni yang mana masyarakat dan rakyat tidak perlu bimbang kerana kita telah melaluinya,” katanya.

Justeru itu, Annuar yang juga merupakan Ahli Parlimen Kertereh menyeru orang ramai agar segera memuat turun aplikasi MySejahtera bagi yang belum dan bagi yang telah sedia ada, aplikasi itu perlu dikemas kini bagi membolehkan mereka mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Menurut beliau, vaksin itu mampu melindungi diri daripada wabak Covid-19 dan ia terbukti apabila ramai pemimpin dan rakyat di negara-negara seluruh dunia telah mengambil vaksin berkenaan.

“Elok semua orang ada MySejahtera dan cepat membuat pendaftaran supaya dapat giliran untuk divaksin dan tidak perlu ada sebarang kebimbangan baik dari hukum syarak atau dari sudut kesihatan dan sebagainya.

“Seluruh dunia sedang melakukan ini, berjuta orang setiap hari sedang disuntik dengan vaksin ini dan eloklah kita bersama menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilancarkan kerajaan sebagai keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

“Kita dah setahun melalui proses mengekang penularan, ini adalah kemuncaknya. InsyaALLAH, dengan terlaksananya program imunisasi ini kita akan dapat menamatkan pandemik ini dan akan kembali kepada kehidupan seperti biasa.

“Ini sangat mustahak, kita mesti menang perang (melawan COVID-19) ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.