Shafie dicabar buktikan tuduhan GRS beli Adun Warisan

29

2 MAC : Pertubuhan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mencabar bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuktikan dakwaan beliau kononnya kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menawarkan imbuhan wang jutaan ringgit untuk membeli wakil rakyat daripada Warisan agar bertindak keluar parti. 

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, jika tidak Presiden Warisan itu hanya cuba mewujudkan sangkaan buruk ke atas kerajaan GRS kerana membuat tuduhan tentang wujudnya tawaran imbuhan wang ringgit kepada wakil-wakil rakyat Warisan dan ini bukan kali pertama tuduhan sedemikian dikeluarkan

“Dalam masa sama, Shafie tidak sertakan bukti kukuh dan sah sama ada dalam bentuk dokumentasi, rakaman perbualan, video ataupun mesej telefon. 

“Tuduhan Shafie itu tanpa melaporkan terlebih dahulu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga secara jelas telah melanggar Akta SPRM 2009.

“Justeru satu laporan polis akan dibuat bagi meminta pihak polis mendakwa Shafie kerana telah mengeluarkan kenyataan fitnah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Mohd Shafie  mengeluarkan dakwaan sedemikian selepas memaklumkan salinan surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir akan diserahkan juga kepada Yang di-Pertua Negeri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau mendakwa kononnya Hassan mungkin sudah lupa mengenai ikrar, surat ditandatangani dan video beliau melafazkan ikrar yang berada dalam simpanan sebagai bahan bukti.

“Bukan ada paksaan, tidak ada tekanan kepada Hassan sebelum beliau menjadi wakil rakyat dan semua wakil-wakil rakyat kita memang kita memang diminta melafazkan janji selaku pimpinan bahawa jangan khianati perjuangan ini,” katanya

Dalam pada itu, Zulkarnain menggesa SPRM untuk mendakwa Mohd Shafie kerana dengan sengaja tidak melaporkan aktiviti sogokan membabitkan pembelian wakil rakyat daripada Warisan.

“Kenapa perlu takut dan khuatir untuk melaporkan tawaran pembelian wakil rakyat kepada pihak SPRM melainkan Shafie sebenarnya hanya berbohong.

“Kami cukup yakin tindakan Shafie itu hanyalah sebagai taktik bagi menghalang lebih ramai wakil rakyat Warisan keluar parti bagi menyokong kerajaan GRS,” katanya

Tambah beliau, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat terhadap Presiden Warisan itu. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.