Pasaraya, kilang antara pencetus 7 kluster baharu hari ini

94

2 MAC: Syarikat pembersihan, pasar raya, kilang dan pusat jagaan warga emas dilaporkan menjadi pencetus utama tujuh kluster baharu kes COVID-19 iaitu enam membabitkan tempatan kerja dan satu kumpulan berisiko dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Daripada enam kluster tempat kerja berkenaan tiga dikesan di Selangor iaitu Kluster Taman Alam, Kluster Sementa 27 dan Kluster Jalan Mawar; dua di Johor ialah Kluster DPB Enam dan Kluster Cyber Satu serta Kluster Persiaran Bayan Indah di Pulau Pinang, manakala Kluster Jalan Bukit Blossoms, Negeri Sembilan membabitkan kumpulan berisiko tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan tujuh kluster baharu itu jumlah kumulatif kluster COVID-19 di Malaysia kini menjadi 1,152 kluster termasuk 663 kluster sudah tamat dan 489 masih aktif.

Sementara itu menurut beliau, enam kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Kluang, Kluster Taman Sejahtera, Kluster Jalan Labuk, Kluster Jalan Ragum, Kluster Industri Indah, dan Kluster Jalan Mega.

“Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini 75 kluster termasuk kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Industri Sungai Gadut (56 kes), Kluster Jalan Muhibbah (49 kes), dan Kluster Jalan DPB Enam (36 kes),” katanya dalam sidang media hari ini.

Perincian tujuh kluster terbaharu hari ini :

KLUSTER TAMAN ALAM

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Petaling di Selangor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 1 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Taman Alam Megah, Shah Alam, Petaling. Sehingga 2 Mac 2021, sejumlah 171 individu telah disaring, di mana 23 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER JALAN MAWAR

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 25 Februari 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah syarikat pembersihan yang terletak di Jalan Mawar, Kajang, Hulu Langat. Sehingga 2 Mac 2021, sejumlah 72 individu telah disaring, di mana 10 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER SEMENTA 27

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Petaling, Klang, Kuala Selangor, dan Kuala Langat di Selangor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 30 Januari 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Sementa 27/91, Shah Alam, Petaling. Sehingga 2 Mac 2021, sejumlah 86 individu telah disaring, di mana 13 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER JALAN DPB ENAM

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada 2 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan DPB/6, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Johor Bahru. Sehingga 2 Mac 2021, sejumlah 80 individu telah disaring, di mana 36 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER JALAN CYBER SATU

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kulai dan Kota Tinggi di Johor. Kes indeks dalam kluster ini (iaitu kes ke-297162) dilaporkan positif COVID-19 pada 27 Februari 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Cyber 1, Kawasan Perindustrian Senai 3, Kulai. Sehingga 2 Mac 2021, sejumlah 63 individu telah disaring, di mana sembilan (9) kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER PERSIARAN BAYAN INDAH

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Utara, dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang. Kes indeks dalam kluster ini (iaitu kes ke-271613) dilaporkan positif COVID-19 pada 17 Februari 2021 hasil saringan individu bergejala.

Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah pasar raya yang terletak di Persiaran Bayan Indah, Barat Daya. Sehingga 2 Mac 2021, sejumlah 83 individu telah disaring, di mana 25 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER JALAN BUKIT BLOSSOMS

Kluster kumpulan berisiko tinggi ini melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan. Kes indeks dalam kluster ini (iaitu kes ke-300101) dilaporkan positif COVID-19 pada 28 Februari 2021 hasil saringan pra prosedur.

Kluster ini melibatkan sebuah pusat jagaan warga emas yang terletak di Jalan Bukit Blossoms 10, Taman Bukit Blossoms, Seremban. Sehingga 2 Mac 2021, sejumlah 40 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.– Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.