Lima suspek merusuh tak dapat makan di restoran ditahan

25

2 MAC: Lima suspek kejadian merusuh di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, Kuala Lumpur  kelmarin ditahan polis di beberapa lokasi berasingan di sekitar ibu negara, malam tadi dan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata kesemua suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 23 tahun.

“Suspek pertama berusia 23 tahun ditahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permai Raya, Sungai Besi pada jam 11.15 malam tadi dan suspek kedua berusia 22 tahun ditahan diTaman Cempaka, Ampang pada jam 1.21 pagi ini.

“Dua suspek lagi, masing-masing ditahan di Rumah Pangsa Sri Selangor, Jalan San Peng dan Jalan Travers di sini, pada jam 1.31 pagi dan 1.37 pagi tadi. Kedua-duanya berusia 22 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, suspek kelima berusia 19 tahun turut ditahan Jalan Travers di sini, pada jam 2.26 pagi tadi.

“Kesemua tangkapan dilakukan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Semakan mendapati kesemua mereka tiada rekod jenayah lampau dan setakat ini, seramai tujuh suspek sudah ditahan untuk membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, sekumpulan 11 hingga 12 individu tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan untuk membuat pesanan makanan di restoran terbabit.

Kejadian itu berlaku selepas pengurus restoran sudah mahu menutup operasi perniagaan pada jam 10 malam bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Anuar, perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati kumpulan lelaki terbabit yang kemudian merusuh dengan menggunakan kayu dan parang memecahkan botol dan gelas di restoran itu.

Katanya, terdapat 11 hingga 12 pekerja termasuk pengurus di restoran itu ketika kejadian dengan tiga pekerja mengalami kecederaan pada kepala serta kecederaan ringan lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.