Larangan rentas negeri untuk lindungi zon hijau, kuning

25

2 MAC: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menegaskan kerajaan terpaksa melarang pergerakan rentas negeri adalah bagi melindungi daerah yang berada di zon hijau dan kuning.

Dr Noor Hisham berkata biarpun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada Rabu lalu namun kawasan zon hijau dan kuning masih perlu dilindungi.

Katanya, penilaian risiko perlu dilakukan sebelum pergerakan rentas daerah dan negeri dibenarkan.

“Untuk membenarkan rentas daerah, kita perlu melihat faktor setempat, contohnya di Sabah dan Sarawak. Dan untuk merentas negeri, kita juga perlu melihat zon merah atau hijau,” katanya dalam sidang media hariannya hari ini.

Beliau berkata, hasil penilaian akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dibincangkan bersama bagi mengimbangi faktor kesihatan dan ekonomi sebelum membuat keputusan muktamad.

Beliau mengulas permintaan 262 persatuan perniagaan serta dewan perniagaan dan perdagangan untuk kerajaan mengkaji semula larangan merentas negeri dan daerah dikekalkan sehingga 70 hingga 80% rakyat Malaysia mendapat vaksin.

Kumpulan itu menyifatkan saranan itu sangat menakutkan dan memberi impak negatif kepada sektor perniagaan.

Beliau berkata sebelum kebenaran rentas sempadan diputuskan, penilaian risiko perlu dibuat terlebih dahulu dengan melihat kepada enam perkara.

Katanya, antara perkara diambil kira ialah  jumlah kes harian termasuk kes yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang; trend dan kadar kebolehjangkitan; situasi semasa iaitu kadar kematian dan jumlah kes kematian; keupayaan katil dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital.

Turut dinilai adalah situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti dan ujian saringan yang dijalankan di lapangan, saringan penyakit seperti influenza (ILI), jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan persampelan prapembedahan serta kemasukan ke wad.

Katanya, Kementerian Kesihatan juga akan terus menggunakan prinsip sama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu “tiada yang selamat sehingga semua orang selamat”.

“Jadi, kami sedang melihat untuk menggabungkan langkah kesihatan awam dan vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam sidang media.

Walaupun penurunan jumlah kes harian “sangat menggalakkan”, beliau mengingatkan orang ramai tidak leka dan terus mematuhi SOP.

Terdahulu, WHO memberi amaran tidak realistik untuk berfikir dunia akan bebas pandemik akhir tahun ini, walaupun kadar kemasukan ke wad dan kematian dapat dikurangkan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.