Kerajaan PN pemurah, salur peruntukan besar bantu rakyat

52

2 MAC: Kerajaan Perikatan Rakyat (PN) disifatkan sebagai ‘pemerintahan tidak kedekut’ untuk menyalurkan peruntukan besar bagi membantu rakyat sepanjang setahun pentadbirannya.

Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata peruntukan itu disalurkan melalui lima pakej ransangan ekonomi yang dilancarkan  sepanjang tahun dengan nilai RM305 bilion, selain dana bajet terbesar diumumkan pada Belanjawan 2021 iaitu sejumlah RM322 bilion.

AHMED RAZMAN

“Kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini kita tidak boleh nafikan kesungguhan mereka membantu rakyat daripada aspek suntikan bantuan kewangan, memang sangat prihatin.

 “Usaha cepat dan tepat dilaksanakan kerajaan membantu individu, isi rumah, perniagaan dan industri sepanjang setahun, terutama mereka yang berdepan kesan COVID-19 patut kita beri pujian,” katanya ketika dihubungi PN NNC, hari ini.

SHAZALI

Ahmed Razman berkata, usaha kerajaan itu memberi banyak impak positif, termasuk daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peningkatan pelaburan asing dan menggalakkan kehidupan rakyat walaupun dalam situasi sukar negara berdepan pandemik terbabit.

 Ditanya sikap segelintir pihak yang menggambarkan seolah-olah negara luar memperoleh peluang pelaburan tertentu dalam tempoh COVID-19 berbanding Malaysia, beliau menyifatkan tanggapan itu tidak seharusnya wujud.

Beliau berkata, setiap negara memiliki kelebihan dan keupayaan tersendiri, termasuk Malaysia.

“Contohnya, Vietnam atau Indonesia memperoleh pelaburan mungkin kerana kos tenaga kerja atau produksi di sana lebih murah, begitu juga Singapura yang mendapat projek disebabkan kemajuan bidang tertentu.

“Negara kita pula memiliki kelebihan lain, seperti kemahiran permotoran, jadi kita boleh tarik pelaburan apabila bidang ini ditonjolkan secara meluas,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, sebagai cadangan, kerajaan perlu membuka sempadan rentas negeri secara berperingkat bagi menjana pendapatan, tidak perlu menunggu sehingga 70 atau 80 peratus rakyat mengambil suntikan vaksin COVID-19.

“Pada pandangan saya, buka sempadan rentas daerah atau negeri mengikut kawasan mana yang sudah tidak mempunyai kes supaya urusan perniagaan serta pelaburan berjalan untuk membantu ekonomi setempat,” katanya.

Sementara itu, Penganalisa Ekonomi, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor, berkata bantuan dan keprihatinan kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat sememangnya memberi kesan positif kepada kumpulan sasaran.

“Bantuan seperti moratorium, Skim Insuran Pekerjaan, Bantuan Prihatin Nasional dan beberapa yang lain menunjukkan usaha berterusan kerajaan membantu rakyat.

“Dengan pandemik kesihatan global ini, tiada negara yang mampu melakukan keajaiban dengan tidak terkena tempias kesan negatifnya.

 “Jadi apa dilakukan kerajaan Perikatan Nasional selama setahun ini untuk mengurangkan kesan, kesukaran dan kesusahan akibat COVID-19 memang baik,” katanya.

Namun, katanya, mungkin kerajaan boleh mula memberikan fokus dan pengkhususan tambahan kepada golongan terjejas pendapatan akibat diberhentikan kerja kerana COVID-19, terutama yang berkeluarga.

Pada masa sama, Shazali berkata, sudah tiba masa kerajaan memberi pilihan kepada rakyat untuk memilih jenis vaksin ingin diterima mereka atas kos sendiri.

 “Ada rakyat yang meluahkan tidak puas hati mengapa kumpulan ini mendapat vaksin negara lain, kumpulan itu pula akan disuntik jenis lain.

“Jadi lebih senang bagi mereka pilih tapi kenakan bayaran untuk mereka, manakala bagi individu yang inginkan suntikan percuma, perlu terima jenis mana pun ditetapkan kepada mereka,” katanya. – Oleh Faizatul Farhana Farush Khan

Get real time updates directly on you device, subscribe now.