Gagal rekod butiran diri kesalahan tertinggi ingkar SOP

54

2 MAC : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 400 individu semalam dalam task force operasi pematuhan di atas kesalahan ingkar arahan Standard Operasi Prosedur (SOP). 

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri, daripada jumlah itu, seramai 352 individu dikompaun manakala 48 orang pula direman. 

“Antara kesalahan adalah gagal gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (106), aktiviti pusat hiburan (102) dan tidak memakai pelitup muka (92). 

“Selain itu, turut direkodkan iaitu rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (35), tiada penjarakan fizikal (34) dan lain-lain (31), ” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Sibujaya dan Perumahan Townvilla, Sibu, Sarawak pula, kata Ismail ia akan ditamatkan mulai 4 Mac ini. 

Jelasnya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan saringan terhadap 6,818 penduduk dan daripada jumlah itu, sebanyak 277 kes positif COVID-19 telah direkodkan melibatkan kedua-dua lokaliti ini. 

Menurut beliau, KKM turut mengesahkan kes di Perumahan Townvilla dan sebahagian besar blok Flat Sibujaya menunjukkan trend penurunan. 

“Setelah membuat penilaian risiko, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Perumahan Townvilla dan blok Flat Sibujaya pada 4 Mac seperti yang dijadualkan

“Namun dikecualikan bagi blok C, H, J, K, L, N dan R yang dilanjutkan bermula 5 sehingga 11 Mac 2021,” ujarnya –Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.